PETALING JAYA: Ringgit dibuka lebih tinggi hari ini apabila peserta pasaran memerhati dengan teliti dan bersiap sedia untuk mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) selama dua hari bermula hari ini.
Memetik laporan Bernama, pada pukul 9.05 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.7255/7300 berbanding dolar AS, berbanding penutup Isnin pada 4.7310/7360.
Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI Stephen Innes berkata, mesyuarat FOMC minggu ini adalah sangat penting untuk prestasi jangka pendek dolar AS.
Kata beliau, pergerakan harga boleh dihadkan, dan pasaran kadar faedah AS menunjukkan peluang yang hampir sama untuk pemotongan kadar 25 mata asas berlaku pada Mac.
“Selain itu, ketegangan geopolitik yang meningkat di Asia Barat menambah kerumitan kepada dinamik pasaran yang menjejaskan hala tuju dolar AS,” katanya.
Innes berpendapat, ringgit berkemungkinan kekal stabil menjelang mesyuarat FOMC.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali yen Jepun, di mana ia turun kepada 3.2055/2090 daripada 3.2020/2056 pada penutup semalam.
Ringgit menambah nilai berbanding pound Britain kepada 6.0066/0123 daripada 6.0093/0157 pada Isnin, dan meningkat berbanding euro kepada 5.1201/1250 daripada 5.1204/1258 sebelumnya.
Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 298.8/299.3 daripada 299.1/299.7 semalam, dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.39/8.41 daripada 8.40/8.42 sebelumnya.
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu susut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.5281/5317 berbanding 3.5269/5309 pada Isnin, dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.3628/3812 daripada 13.2949/3153 sebelumnya. – UTUSAN




