Doha: Pemain Iraq Aymen Hussein dibuang padang selepas meraikan jaringan dengan gaya makan rumput ketika menentang Jordan di Piala Asia semalam.
Penyerang berusia 27 tahun itu meletakkan pasukannya mendahului 2-1 pada minit ke-76 dalam saingan peringkat 16 berdepan Jordan di Stadium Antarabangsa Khalifa.
Iraq mencipta kejutan menewaskan Jepun untuk muncul juara kumpulan dan hanya beberapa minit lagi untuk mara ke suku akhir.
Namun sebaik mendahului lawan, mereka dikejutkan dengan tindakan pengadil Alireza Faghani yang melayangkan kad merah kepada Hussein yang meraikan jaringannya dengan cara unik.
Hussein berlari ke penjuru padang, duduk dengan kaki bersilang sambil menggayakan tangan memakan rumput.
Pengadil dengan pantas melayangkan kad kuning kedua kepada Hussein disusuli kad merah.
Ia hukuman keras ke atas penyerang itu dan bertambah buruk apabila beberapa pemain Jordan terselamat walaupun melakukan kesalahan sama.
Yazan Al-Naimat membuka tirai jaringan sejurus sebelum rehat dan dia duduk sambil berpura-pura makan rumput diikuti beberapa rakannya yang melakukan tindakan sama.
Namun mereka terselamat daripada hukuman dengan hanya Hussein mendapat hadiah kad merah meraikan jaringan dengan cara sama.
Pengurus Iraq Jesus Casas kesal dengan keputusan pengadil yang dianggapnya tidak wajar.
Menurutnya: “Kad merah itu mengubah keseluruhan perlawanan. Dalam kejohanan utama pemain pastinya meraikan jaringan. Pengadil tidak boleh memberikan kad merah untuk itu.
“Kita semua lihat Jordan meraikan dengan cara sama dan mereka tidak dilayangkan kad. Masa kad merah diberikan menyukarkan kami kerana kami sudah melakukan semua pertukaran.”
Jordan mengambil kesempatan itu dengan menjaringkan dua gol pada masa tambahan untuk kemenangan 3-2.
© New Straits Times Press (M) Bhd




