bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Proses mengeluarkan mayat seorang lagi pekerja asing yang tersepit pada struktur besi susulan insiden komponen kren gantri terjatuh di tapak projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai, di sini, dijangka selesai tengah malam ini.
Ketua Operasi, Penguasa Kanan Bomba I Khairul Azuwan Ibrahim, berkata kerja penstabilan ‘U beam’ yang dilakukan pihak kontraktor di lokasi kejadian sejak semalam sudah selesai.
“Kerja menurunkan dua unit ‘winch’ (takal) kini sedang dilakukan dan proses itu dijangka mengambil tempoh kira-kira tiga jam.
“Sebaik kerja menurunkan ‘winch’ selesai, kita akan mengeluarkan mayat mangsa dan proses itu dijangka selesai antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau dalam satu kenyataan berasingan petang tadi memaklumkan, kerja penstabilan ‘U beam’ menggunakan ‘I-Beam Support’ dilakukan sebelum melakukan angkatan pada komponen kren gantri yang menghempap mangsa menggunakan kren bergerak.
Katanya, kerja mengeluarkan mangsa menghadapi kesukaran kerana struktur binaan yang tidak stabil dan mangsa tersepit di antara rasuk binaan serta struktur kren gantri.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi, dilaporkan berkata identiti tiga mangsa warga China yang maut sudah dikenal pasti.
Beliau berkata, mereka dikenali sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng.
“Mayat Kunfu dan Jinboa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba jam 11.30 pagi semalam dan diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.
“Kerja mengeluarkan mayat Tong Zheng yang terhimpit di antara struktur besi masih dilakukan,” katanya.
Dalam insiden kira-kira jam 8.40 pagi semalam, lima buruh asing dan seorang warga tempatan terbabit dalam kejadian berkenaan.
Dua buruh asing maut terjatuh dari ketinggian 40 meter, manakala seorang lagi maut akibat tersepit pada struktur besi, manakala dua lagi terselamat.
Pemandu kereta yang ditimpa komponen kren gantri itu cedera di leher dan mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.
© New Straits Times Press (M) Bhd




