Hanya selangkah cipta sejarah

Hanya selangkah cipta sejarah

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan hoki 5 sebelah (5s) negara perlu kekal fokus sekiranya mahu melakar sejarah muncul juara Piala Dunia 2024 di Muscat, Oman.

Kini hanya tinggal selangkah lagi buat pasukan bimbingan Wallace Tan yang menempah tiket ke pentas final selepas menumpaskan Poland 4-3 di separuh akhir dalam perlawanan yang cukup mendebarkan itu.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia akan berdepan Belanda yang kini berkedudukan di ranking nombor satu dunia untuk penentuan juara pada 12:20 tengah malam esok waktu Malaysia.

Kapten Pasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook berkata, perjuangan skuad negara belum berakhir namun berbekalkan semangat yang tinggi barisan pemain bertekad untuk melakar sejarah.

“Kami masih ada satu lagi perlawanan dan perlu terus kekal fokus kerana kita tahu Belanda satu yang yang kuat dan mereka mempunyai barisan pemain yang baik.

“Tapi kami juga tidak akan mengalah, kami akan lawan dan berikan yang terbaik kerana kami membawa maruah negara.

“Sekarang ini kami perlu kekal fokus dan berjuang sehingga minit terakhir,” katanya.

Dalam aksi perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi, menyaksikan Muhammad Arif Syafie Ishak membuka jaringan buat pasukan negara pada minit ke-7 sebelum Damian Jarzembowski menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin meletakkan pasukan negara di depan minit ke-19 diikuti dua gol daripada Akhimullah minit ke-22 dan 27 untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Poland bagaimanapun bangkit mengejar menerusi Wojciech Rutkowski dan Jakub Holosyniuk masing-masing pada minit ke-27 dan 30.

Pada minit terakhir Poland cuba membuat bantahan namun nasib nyata menyebelahi skuad negara apabila bantahan berkenaan ditolak seterusnya menyaksikan Malaysia mara ke pentas akhir.

Sementara itu jurulatih negara, Wallance kagum dengan semangat juang yang dipamerkan oleh barisan pemain.

Namun sedar bahawa cabaran negara di pentas akhir bukan mudah apabila berdepan Belanda yang mempunyai reputasi yang tinggi di kejohanan itu.

“Belanda satu pasukan yang kuat. Mereka kalahkan semua pasukan di sini India, Pakistan, Poland, Nigeria dan yang lain-lain. “Apa yang boleh saya katakan, kami akan cuba untuk menang perlawanan esok,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top