sukan@hmetro.com.my
Seremban: Negeri Sembilan berjaya memulakan langkah kanan apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 3-2, dalam aksi pembuka tirai Liga Hoki Wanita Malaysia MHL-TNB 2024, di Stadium Hoki Seremban 2, petang tadi.
Biarpun tampil dengan sebahagian barisan pemain baharu dan muda, namun pasukan bimbingan K Rajan itu berjaya menyerlahkan penguasaan apabila di peringkat awal perlawanan sudah mula mencipta beberapa peluang ke kawasan gol lawan.
Usaha tuan rumah mendapatkan gol terhasil menerusi jaringan Zaty Alyani Muhammad Zubir pada minit ke-30, hasil serangan pantas dan gandingan satu dua dengan Qisha Asmira Shahrulzaman, yang menewaskan penjaga gol PDRM, Farah Ayuni Yahya.
Negeri Sembilan kemudian melebarkan lagi penguasaan mereka menerusi gol kedua jaringan Anith Humairah Baharuddin sebaik bermula separuh masa kedua pada minit ke-50.
Bagaimanapun, enam minit kemudian, PDRM berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Wan Nur Syafiqah Syahirah Wan Nordin manakala Anith Humairah yang beraksi begitu cemerlang membantu Negeri Sembilan mendapatkan gol ketiga pada miniti ke-59.
Seminit kemudian iaitu pada minit ke-60, pasukan pelawat berjaya merapatkan jurang selepas Nur Aisyah Yaacob bijak memperdayakan kelekaaan bahagian pertahanan untuk menjaringkan gol kedua PDRM.
Usaha PDRM untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian meskipun berusaha keras sehingga ke penghujung perlawanan apabila pemain pertahanan Negeri Sembilan dilihat kekal bertahan dan berjaya mematahkan setiap serangan lawan.
Ketua jurulatih Negeri Sembilan, K Rajan ternyata gembira dengan keputusan kemenangan sulung dicapai skuad bimbingannya itu walaupun persembahan mereka belum mencapai apa yang diinginkannya.
Menurutnya, masih terdapat banyak kelemahan dari segi persembahan pasukan terutama dari segi kombinasi antara pemain.
“Pemain belum berjaya mempamerkan aksi yang memuaskan, persefahaman juga belum begitu mantap hingga menyebabkan beberapa peluang di hadapan gol lawan gagal diterjemahkan dengan jaringan.
“Kita akan cuba perbaiki sebarang kelemahan dengan cepat kerana pasukan perlu meneruskan persembahan terbaik dan meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan berikutnya,” katanya selepas perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
