am@hmetro.com.my
Muar: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki merogol adik bekas teman wanitanya hingga hamil lapan minggu.
Suspek berusia 23 tahun yang bekerja sebagai mekanik itu ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan mengenai kejadian itu, semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kejadian dipercayai berlaku pada Disember tahun lalu di sebuah rumah dalam daerah ini, dengan mangsa kini sudah hamil.
Menurutnya, kejadian terbongkar apabila mangsa berusia 13 tahun mengalami demam dan muntah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Maharani, 9 malam semalam.
“Doktor menjalankan ujian air kencing mendapati mangsa sudah hamil.
“Ibu mangsa memberitahu, anak perempuannya dirogol bekas teman lelaki kakaknya di rumah mereka pada jam 5 pagi, 22 Disember lalu,” katanya.
Raiz Mukhliz berkata suspek bertandang ke rumah mangsa pada hari kejadiannya kononnya mahu membincangkan sesuatu.
“Sebaliknya, suspek mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu tanpa disedari ahli keluarganya,” katanya ketika dihubungi.
Raiz Mukhliz berkata, polis berjaya menahan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Siasatan juga mendapati suspek baru sahaja dituduh mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menyeludup Pati,” katanya.
Sementara itu, Majistret Nurfarah Syahidah Mohd Noh membenarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




