am@hmetro.com.my
Tapah: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mempunyai punca kuasa untuk berfungsi sebagai lapisan kedua kawalan keselamatan termasuk di depoh tahanan Imigresen.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Ruslin Jusoh berkata justeru itu tidak seharusnya timbul isu 131 tahanan Myanmar yang meloloskan diri dalam rusuhan di Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor, di sini malam tadi dikaitkan dengan faktor kawalan keselamatan oleh anggota RELA.
Katanya, RELA adalah jabatan yang juga diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagaimana Imigresen.
“RELA adalah ‘second layer’ (lapisan kedua) dengan tugasnya bukan sahaja di depoh, tetapi punca kuasa RELA sememangnya wujud kuasa mereka mengikut perundangan.
“Jadi, itu bukan isu dia sekarang iaitu mengapa serahkan kepada RELA (untuk berkawal) dan sebagainya.
“RELA adalah ‘support’ (agensi sokongan) yang mana ia juga berada di bawah KDN. RELA ‘support’ semua operasi dan kawalan keselamatan yang bukan sahaja di peringkat jabatan tetapi juga (ditugaskan) untuk menjaga premis,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor, di sini malam tadi.
Ruslin berkata demikian ketika ditanya mengenai reaksi sebilangan warganet yang mempersoalkan alasan anggota RELA ditempatkan di depoh tahanan Imigresen sehingga dikaitkan dengan kejadian rusuhan membabitkan 131 tahanan Myanmar itu.
Katanya, dalam rusuhan itu, dua anggota RELA tercedera ketika rempuhan sekumpulan pendatang asing tanpa izin berkenaan yang difahamkan kerana dipukul, selain dibaling batu oleh tahanan yang hendak melarikan diri dari depoh itu.
Mengenai kawalan keselamatan depoh terbabit, Ruslin berkata, ia turut dilakukan oleh pegawai dari Imigresen selain oleh anggota RELA yang ditempatkan berkawal 24 jam dan berada di setiap penjuru blok yang didiami warga asing yang melarikan diri itu.
“Tetapi apabila berlaku rempuhan itu, amat sukarlah untuk kita tangani, (kerana) kalau sudah ramai (tahanan) datang serentak iaitu dalam 30 hingga 40 orang sekali gus.
“Depoh di sini juga mampu memuatkan lebih 700 orang tahanan pada satu-satu masa, yang mana sebelum kejadian kapasitinya adalah seramai 566 tahanan. Jadi sekarang depoh ini masih berada di bawah kapasiti dengan ruangnya juga besar,” katanya.
Sementara itu Ruslin berkata, operasi mencari tahanan warga asing yang melarikan diri tidak akan berhenti dan membabitkan s400 keanggotaan pelbagai agensi antaranya polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), unit udara polis dan Unit Anjing Pengesan (K9)
“Kita jangka mereka tidak boleh pergi jauh lebih-lebih lagi waktu malam memandangkan pergerakan agak susah, ditambah pula sudah masuk hari kedua yang mana mereka mungkin akan lapar dan keluar (dari tempat bersembunyi) untuk mencari makanan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
