bhnews@bh.com.my
KUANTAN: Hujan lebat sejak semalam, menyebabkan beberapa kawasan di sini dilanda banjir kilat hari ini.
Antara kawasan yang dinaiki air ialah Kampung Gudang Rasau, Kampung Air Hitam dan Kampung Pandan Dua, di sini.
Beberapa jalan turut ditenggelami air dan hanya kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan berat yang boleh melaluinya seperti di Kilometer 16 Jalan Kuantan-Sungai Lembing.
Tinjauan di Kampung Gudang Rasau, di sini pagi ini, mendapati air naik sedalam kira-kira satu meter tetapi belum ada penduduk yang berpindah.
Bagaimanapun, penduduk dinasihat bersiap sedia sekiranya air semakin meningkat untuk memastikan keselamatan.
Semalam, pekan Sungai Lembing dilanda banjir kilat sedalam kira-kira satu meter sebelum surut pada lewat petang semalam.
Sementara itu, laporan infobanjir.water.gov.my merekodkan paras air Sungai Lembing melepasi paras bahaya, manakala bacaan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi melepasi paras amaran dan Sungai Belat di Sri Damai pula melepasi paras berjaga-jaga.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan hari ini mengeluarkan notis amaran cuaca buruk iaitu hujan lebat dijangka berterusan di daerah ini, hari ini.
Cuaca waspada iaitu hujan lebat pula dijangka berlaku di beberapa daerah di Pahang iaitu Jerantut, Maran, Pekan dan Rompin.
Angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairanPahang sehingga esok.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi dan sukan laut.
© New Straits Times Press (M) Bhd



