Dilema Kewangan dan Pengangguran: Punca Pelajar Hilang Minat Terhadap Aliran Sains?

Kuala Lumpur: Sejak di bangku sekolah lagi, kita sering didedahkan bahawa salah satu bidang kerjaya yang dilihat professional dan gah di mata masyarakat adalah bidang berkaitan dengan sains. Masyarakat pastinya menyanjung tinggi mana-mana individu yang terlibat dengan profesion dalam bidang sains kerana peranan golongan profesion ini dalam masyarakat adalah penting untuk mencorak perubahan dan transformasi dalam kehidupan termasuklah dalam bidang kesihatan, kejeruteraan, teknologi maklumat, alam sekitar, pembuatan, pembinaan dan sukan. Oleh yang demikian, ibu bapa, saudara mara dan sahabat handai akan berasa bangga apabila terdapat dikalangan ahli keluarga mereka yang melanjutkan pelajaran dalam bidang STEM. Perhatian khusus untuk melonjakkan kompentensi bakat dalam bidang sains turut disahut oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan meletakkan keutamaan yang telah digariskan dalam PPPM 2013-2025 iaitu berkaitan aspirasi untuk menyerlahkan bakat dalam bidang STEM dengan nilai-nilai berfikiran kritis dan berdaya saing. Hal ini selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan generasi pada masa hadapan yang berteknologi tinggi dalam mencapai matlamat negara untuk menjadi negara maju dan bersedia untuk berdepan dengan cabaran revolusi perindustrian 4.0.

Pelajar dalam aliran sains di Malaysia tidak mengira pelbagai peringkat pendidikan bermula dari rendah sehingga ke universiti telah dibudayakan dengan kurikulum yang padat untuk memenuhi tahap sasaran pembelajaran yang tinggi dalam aspek kognitif, afektif dan psikomotor. Apabila pelajar dibebankan dengan kurikulum yang padat sejak daripada peringkat pendidikan rendah menyebabkan sesetengah daripada mereka hanya menumpukan perkembangan dalam aspek kognitif iaitu dapat diukur melalui jumlah pemberatan markah yang besar dalam SPM pada peringkat menengah. Tumpuan khusus yang terlampau tinggi untuk meningkatkan kemahiran dalam aspek kognitif semata-mata telah menyebabkan keseronokan dalam mempelajari sains semakin menipis. Bibit-bibit penolakan terhadap nilai sains akan mula tercetus dari jiwa pelajar walaupun dari segi prestasi pencapaian akademik mereka meningkat.

Disebalik kesukaran yang dihadapi pelajar aliran sains dalam mengenggam segulung ijazah dalam bidang sains, adakah kita memberi perhatian kepada isu gaji bermaruah yang diperolehi oleh bakal graduan ini setelah mereka menjengah ke alam kerjaya? Hal ini sukar untuk ditelan tetapi realitinya kerjaya dalam bidang STEM bukanlah satu kerjaya yang boleh membawa kepada peningkatan taraf ekonomi yang tinggi berbanding dengan bidang lain.   “Belajar susah-susah tetapi gaji rendah”. “Belajar susah-susah tetapi susah dapat kerja”. Inilah beberapa ungkapan yang sering kita dengar  dari para graduan aliran Sains.

Dalam dunia yang terus bergerak maju di mana penghasilan dan penggunaan teknologi merentasi sempadan dan ledakan kepelbagaian inovasi dalam teknologi, kerjaya dalam bidang STEM adalah sangat penting dalam memacu negara ke peringkat yang lebih tinggi. Teknologi robotik, automasi Artificial Intelligience dan Augmented Reality adalah contoh teknologi terkini yang digunakan secara meluas di peringkat global. Tetapi, seiring dengan perkembangan arus teknologi yang semakin pesat, adakah kita memberi nilai yang setimpal kepada golongan yang terlibat secara langsung dalam bidang ini? Adakah terdapat peluang kerjaya dan keboleh pasaran yang meluas bagi graduan aliran STEM?   Sama ada kita menyedari atau tidak, faktor yang menarik minat pelajar terhadap aliran sains bukan hanya dari segi peranan ibu bapa, peranan guru dan integrasi teknologi dalam pendidikan sahaja tetapi juga ianya juga berkait rapat dengan cabaran gaji dan peluang kerjaya masa masa hadapan yang membelenggu keinginan pelajar untuk mengejar impian mereka dalam bidang sains apabila memasuki alam pekerjaan nanti.

Peningkatan kos sara hidup pada masa kini sangat memberi kesan kepada masyarakat tidak kira golongan muda atau yang lebih berusia. Jadi, tidak hairanlah pelajar pada masa kini memandang gaji dan pendapatan sebagai salah satu kriteria utama yang mendorong mereka untuk menentukan pilihan kerjaya pada masa akan datang. Sesetengah kerjaya STEM sebenarnya tidak setimpal dengan usaha, masa dan kos yang telah dicurahkan. Ramai graduan STEM mendapati diri mereka menerima bayaran yang tidak mencukupi berbanding dengan kebolehan dan sumbangan yang mereka berikan mendorong generasi belia menolak untuk meneruskan pengajian dalam aliran sains. Sebagai contoh, kita kekurangan pakar dalam bidang kerjaya keselamatan siber. Bidang ini sebenarnya merupakan salah satu bidang yang menawarkan bayaran tertinggi dalam bidang teknologi maklumat (ICT). Tetapi, antara punca yang menyebabkan bidang tersebut tidak mendapat sambutan yang menggalakkan di negara kita adalah kerana terdapat perbezaan dari segi gaji yang ditawarkan berbanding negara luar. Menurut Laporan Survei Gaji dan Upah 2021 yang telah diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 37% jurutera di Malaysia menerima gaji permulaan di bawah RM2000 yang boleh dikategorikan sebagai rendah. Ini menunjukkan bahawa gaji yang diberikan kepada graduan di Malaysia tidak setimpal dengan kelayakan akademik yang mereka miliki.

Berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB), Malaysia menghadapi cabaran dalam menarik minat dan mengekalkan pelajar dalam pendidikan STEM, terutamanya di peringkat menengah dan pengajian tinggi. Antara hasil laporan yang telah dikeluarkan ialah ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan lulusan STEM di pasaran kerja dan pengangguran lulusan STEM. Menurut laporan statistik, hanya 49,887 atau 24.7 peratus tawaran kerja dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) daripada 202,102 kekosongan jawatan, iaitu antara yang terendah menyebabkan bidang berkenaan kurang mendapat sambutan pelajar. Inilah realiti yang berlaku pada masa kini. Ramai graduan dalam aliran STEM tidak berjaya untuk memperoleh pekerjaan dalam bidang STEM sebaik sahaja tamat pengajian. Laporan Landskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia Suku Kedua 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia  menunjukkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merekodkan tawaran kekosongan pekerjaan tertinggi dengan 140,104 kekosongan yang merangkumi aspek perindustrian dan pengeluaran, keusahawanan, teknologi bahan, fesyen dan pakaian, kecantikan, kulinari serta pertanian. Selain itu, terdapat 101,423 kekosongan untuk senarai pekerjaan kritikal seperti akauntan dan juruaudit, profesional pengiklanan dan pemasaran serta pengarah urusan dan ketua eksekutif. Jadi di mana nilai keboleh pasaran graduan aliran STEM? Ini menunjukkan bahawa selain dari nilai gaji yang rendah, peluang pekerjaan yang tidak terjamin juga dilihat menjadi antara faktor graduan tidak menjadikan bidang STEM sebagai sasaran punca pendapatan utama mereka.

Kerjaya dalam bidang STEM bukanlah kerjaya yang mudah. Ia menuntut kepakaran dan kebolehan individu dalam pelbagai bidang. Jika pelajar sendiri tidak berminat dengan aliran STEM disebabkan oleh faktor-faktor tersebut, Malaysia akan menjadi semakin jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju yang lain. Jadi, adakah terdapat jalan penyelesaian bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Ianya bukan sesuatu yang mudah untuk diatasi dalam satu jangka masa yang singkat kerana masalah ini telah ditimbulkan bertahun-tahun lamanya. Tetapi tidak mustahil satu hari nanti semua masalah tersebut dapat di atasi.

Untuk mengatasi masalah ini, pihak kerajaan perlu memainkan peranan yang menyeluruh serta menyelesaikan masalah struktur yang membelenggu masalah gaji bermaruah bagi kerjaya dalam bidang STEM. Langkah awal yang telah diambil oleh pihak Kerajaan ialah melalui peluncuran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perkara yang dititikberatkan kerajaan adalah unjuran kenaikan gaji penengah bagi pekerja sektor pembuatan kepada RM4,510 pada 2030 iaitu peningkatan 128 peratus berbanding RM1,976 pada 2021. Ini merupakan satu inisiatif kerajaan yang positif di mana peningkatan gaji penengah itu akan didorong oleh peralihan industri ke arah aktiviti nilai tambah lebih tinggi dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dapat diwujudkan untuk tempoh tujuh tahun yang akan datang. Jadi adalah penting bagi pelajar pada masa kini untuk menguasai dan mendalami bidang STEM bagi melahirkan lebih ramai pekerja yang berkemahiran tinggi seperti yang diperlukan industri bagi mencapai matlamat NIMP 2030. Peningkatan investasi dalam pendidikan STEM adalah kunci kepada penyelesaian jangka panjang. Peningkatan  kualiti program STEM di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi dapat memastikan graduan dilengkapi dengan kebolehan dan kecekapan yang diperlukan oleh industri sekaligus dapat mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan pelajar aliran STEM.

Penggubalan dasar kerajaan untuk memastikan usaha murni bagi menjadikan sektor kerjaya dalam bidang STEM menjanjikan masa depan yang cerah dari segi progresif gaji yang setimpal disamping dengan kerjasama pihak swasta yang menghargai bakat golongan pekerja profesional sains pastinya akan memberi impak domino kepada peningkatan permintaan pelajar dalam aliran sains dalam pelbagai peringkat pendidikan. Permintaan pelajar dalam aliran sains pastinya akan meningkat apabila mereka mendapati kerjaya dalam bidang sains memberi peluang yang cerah dan motivasi untuk peningkatan taraf produktiviti. Oleh itu, struktur asas paling utama yang membawa kepada indikator penolakan dan penerimaan pelajar kepada aliran sains adalah disebabkan daripada pandangan umum pelajar mengenai masa depan kerjaya mereka dalam bidang sains setelah tamat penagjian kelak. Tindakan komprehensif pada peringkat dasar telah dimulakan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah gaji dan masa depan profesional yang terlibat dalam kerjaya STEM, namun perhatian akan terus diberi sama ada penggubalan dasar ini disahut dengan baik oelh pemain industri pada peringkat perlaksanaan.

Kerjasama erat antara industri dan institusi pendidikan juga penting untuk memastikan keperluan pasaran pekerjaan dipenuhi. Program pengajaran perlu diselaraskan dengan keperluan industri dan mengintegrasikan elemen praktikal yang relevan. Jadi, ada di antara  Universiti Awam telah mengambil inisiatif untuk menggugurkan program akademik yang sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa dan masa hadapan. Program pengajian yang digugurkan ini tidak menjanjikan peluang pekerjaan terbaik buat graduan seiring dengan permintaan semasa industri. Inisiatif ini dapat membantu pelajar untuk membuat pilihan yang tepat dalam membuat pemilihan kos berasaskan STEM yang masih relevan dan mempunyai nilai keboleh pasaran yang tinggi supaya bilangan graduan yang mengganggur sebaik sahaja tamat pengajian dapat dikurangkan.

Walaubagaimanapun, di samping usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak, pelajar itu sendiri seharusnya mengambil langkah yang lebih proaktif dalam memajukan diri mereka supaya boleh bersaing seiring dengan perkembangan teknologi pada masa kini. Pelajar perlu mengenali dan memperkukuhkan kemahiran mereka dalam mengintegrasikan STEM seperti kemahiran teknikal dan soft skills. Kepakaran seseorang individu bukan hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi ia seharusnya lebih menyeluruh dari segi penguasaan, pengetahuan dan kemahiran praktikal mereka dalam sesuatu bidang. Pelajar juga hendaklah aktif mencari peluang untuk menjalani latihan praktikal dan penempatan industri. Ini tidak hanya memberikan pengalaman praktikal, tetapi juga memperluaskan rangkaian profesional dan memudahkan proses mencari pekerjaan selepas mereka tamat pengajian.

Dalam mengejar  kecemerlangan dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), pelajar perlu menghadapi realiti cabaran seperti isu gaji rendah dan peluang kerjaya dalam bidang STEM. Cabaran ini tidak seharusnya dijadikan sebagai   faktor penolak semangat dan minat pelajar terhadap aliran sains kerana bidang ini sememangnya memberi sumbangan yang sangat besar kepada negara. Jika dilihat dari sudut positif, setiap cabaran yang ada merupakan peluang untuk pertumbuhan dan pencapaian pelajar untuk menjadi  lebih luar biasa. Dengan pendekatan proaktif, kemahiran yang diperkukuh dan semangat ketekunan, pelajar dalam aliran STEM boleh membentuk destinasi kerjaya mereka sendiri. Masa depan STEM adalah penuh harapan, dan melalui usaha bersama, kita boleh mengubah landskap kerjaya STEM menjadi suatu medan kerjaya pilihan generasi pada masa kini dalam mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Usaha yang berterusan oleh pelbagai pihak adalah sangat penting untuk memastikan STEM di Malaysia terus berada di puncak kegemilangan dalam melahirkan generasi yang kritis dan kreatif dan lebih bersedia untuk menghadapi era IR-4 yang merupakan cabaran baru pada masa kini. Malaysia mampu berada setanding dengan negara maju yang lain sekiranya generasi anak muda pada masa sekarang sedar akan kepentingan STEM dan berusaha untuk membawa Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.

Oleh:
NOR HAYATI BINTI SAMSUDIN
Guru Biologi, Kementerian Pendidikan Malaysia

DR MOHD MOKHZANI BIN IBRAHIM
Pensyarah Fakulti Sains dan Matematik,
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Scroll to Top