
Yazan al-Arab bersama pemain Jordan meraikan kemenangan ke Korea Selatan dalam aksi separuh akhir di Stadium Ahmed bin Ali. Foto: AFP
LIGA Malaysia (Liga-M) dan Selangor FC menjadi sebutan, apabila Jordan mencipta sejarah layak ke final Piala Asia selepas menyingkirkan juara dua kali Korea Selatan 2-0 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Ahmad Bin Ali di Al Rayyan pada Selasa.
Ia susulan empat pemain Jordan yang sedang dan pernah beraksi di Liga Super iaitu Noor Al-Rawabdeh yang merupakan pemain Selangor, Fadi Awad (PDRM FC), Yazan Al-Arab (bekas pemain Selangor) dan Mahmoud Al-Mardi (bekas pemain Kedah Darul Aman FC).
Al-Rawabdeh, Al-Arab dan Al-Mardi, masing-masing diturunkan semalam beraksi cemerlang ketika berdepan nama-nama yang bermain di Eropah, antaranya bintang Tottenham Hotspur Son Heung-min, Lee Kang-in (Paris Saint-Germain) dan Hwang Hee-chan (Wolverhampton Wanderers) sementara Awad memanaskan bangku simpanan dan tidak diturunkan pada perlawanan itu.
Pada aksi semalam, dua jaringan Jordan hadir pada separuh masa kedua, dengan Yazan Al-Naimat meletakkan pasukan di depan, sebelum gol Mousa Al-Tamari melengkapkan malam gemilang skuad bimbingan Hussein Ammouta, sekali gus membawa The Chivalrous ke final buat kali pertama.



