TUGAS untuk merealisasikan impian emas Olimpik sulung negara tidak dibebankan pada skuad terjun sahaja, sebaliknya sukan lain turut dilihat berpeluang untuk sekurang-kurangnya layak ke temasya berprestij itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, walaupun MSN meletakkan sasaran untuk lebih ramai penerjun negara layak pada edisi kali ini, pihaknya tetap melihat prestasi sukan lain yang masih berkesempatan menempah tiket ke Paris hingga Jun ini.
“Sukan lain seperti ping pong, olahraga, renang, menembak, memanah, pelayaran yang boleh layak ke Sukan Olimpik dan mereka kini masih berjuang.
“Jadi kita harap atlet ini dapat layak dan bantu dari segi jumlah kontinjen ke sana (Paris),” katanya ketika ditemui pemberita di Putrajaya.



