
Hussein Ammouta (kiri) dan Salem Al Jalin ketika menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media pra-perlawanan akhir di antara Jordan dan Qatar Piala Asia 2023 di Pusat Media Utama pada Jumaat. – Foto: Bernama
KETUA jurulatih Jordan, Hussein Ammouta meramalkan pasukan itu bakal berdepan tugas berat menentang juara bertahan Qatar di Stadium Lusail malam esok.
Meskipun anak buahnya mencipta kejutan menumbangkan dua bekas juara iaitu Iraq dan Korea Selatan pada pusingan kalah mati, Ammouta tidak sama sekali memperkecilkan kehebatan Qatar yang disifatkannya sebagai pasukan yang sangat baik dan sukar ditewaskan.
Beliau berkata, hal itu terbukti apabila Qatar yang diberi julukan The Maroons di ambang memenangi gelaran kedua berturut-turut, satu pencapaian yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pasukan sejak Jepun muncul juara edisi 2000 dan 2004.
“Qatar ialah juara bertahan dan bermain di laman sendiri, pasukan yang liat ditewaskan, kita sudah lihat pada final 2019 yang sengit dan mereka sangat kuat. Kejayaan mereka sehingga hari ini disebabkan sokongan yang kuat daripada pihak persatuan.



