KUALA LUMPUR: Perwakilan wanita dalam lembaga pengarah di 100 syarikat senaraian awam (PLC) utama Malaysia kini sebanyak 25.8 peratus iaitu melonjak 82 peratus daripada angka pada 2015.
Pengerusi Pengasas 30% Club Malaysia, Tan Sri Zarinah Anwar, berkata golongan wanita juga menduduki 17.2 peratus kerusi lembaga pengarah dalam semua PLC di negara ini.
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia itu berkata, pada 2015 hanya 14 peratus pengarah wanita dalam lembaga pengarah di 100 PLC utama di Malaysia dan 10.7 peratus pengarah wanita bagi keseluruhan PLC.
“Justeru, pencapaian sekarang adalah usaha kita selama enam tahun,” katanya menyampaikan ucapan alu-aluan pada perbincangan panel secara maya bertajuk ‘Men-Who-Pause’ anjuran 30% Club Malaysia hari ini.
30% Club adalah kempen global diterajui pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) bagi meningkatkan kepelbagaian gender pada peringkat pembuat keputusan seperti lembaga pengarah serta pengurusan kanan dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita menduduki kerusi lembaga pengarah dan eksekutif kanan peringkat tertinggi.
Zarinah berkata, Malaysia negara pertama di rantau ini yang menetapkan sasaran kepelbagaian gender bagi lembaga pengarah PLC pada 2012, namun ada syarikat dan PLC yang sama sekali tidak memulakan sebarang usaha untuk mengubahnya meskipun wujud gesaan daripada pihak pengawal selia dan pelabur.
Katanya, pada masa ini, sebanyak 255 PLC masih mempunyai ahli lembaga pengarah yang semuanya lelaki iaitu lebih satu per empat daripada keseluruhan syarikat tersenarai dengan empat daripadanya 100 PLC utama.
Pada perbincangan panel itu, Pengarah Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Datuk Seri Ahmad Johan Mohammad Raslan berkata, lembaga pengarah dan jabatan modal insan perlu bekerjasama mendorong serta menggalakkan wanita meningkatkan kedudukan dalam korporat.
Beliau yang juga Mentor 30% Club Malaysia berkata, penetapan 30 peratus eksekutif wanita dalam lembaga pengarah bertujuan memberi peluang saksama kepada wanita mengatasi halangan kenaikan pangkat ke peringkat pengurusan atasan.
“Wanita juga perlu berusaha untuk kenaikan pangkat dan tidak mudah mengalah sepanjang melakukan usaha itu. Mereka perlu sentiasa tampil ke hadapan dalam kehidupan ini dan dapatkan bimbingan serta sokongan penuh supaya boleh dibimbing secara lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, syarikat itu memulakan perancangan ekosistem yang membantu wanita meneruskan kemajuan melangkaui peringkat pengurusan yang lazimnya dikuasai lelaki.
Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 27 peratus daripada 480,000 tenaga kerja Petronas adalah wanita dan 19 peratus daripada jawatan kepimpinan kanan, naib presiden dan selanjutnya juga diwakili golongan itu.
CEO Digi.Com Bhd, Albern Murty pula berkata, pada masa ini golongan wanita membentuk lebih 40 peratus daripada ahli lembaga pengarah syarikat itu.
“Apabila menyentuh usaha mendapatkan calon tepat bagi jawatan atau peranan tertentu, cara terbaik adalah melihat individu itu dari segi kebolehannya, bukannya jantina,” katanya.
Pengurus Besar merangkap CEO Kumpulan HSBC Bank Malaysia Bhd, Stuart Milne berkata wanita mewakili 33 peratus daripada jawatan peringkat eksekutif kanan syarikat itu dan 54 peratus pada peringkat pertengahan pengurusan.
“Kami tidak menetapkan sebarang sasaran gender di peringkat jawatankuasa eksekutif kerana hanya mahukan mereka yang terbaik bagi mengisi jawatan itu,” katanya.
Malah, beliau menyifatkan wanita di Malaysia berada pada kedudukan ‘amat kukuh’ dalam pengurusan kanan seperti di China, Hong Kong dan Taiwan. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




