MELAKA: Projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) yang dijangka bermula April ini bukan sahaja berpotensi menganggu pendaratan penyu karah di sekitar pantai di Alor Gajah dekat sini, tetapi turut menjejaskan stok hasil laut.
Justeru, pemaju projek kerajaan negeri bernilai RM15 bilion itu perlu melabur meletakkan tukun-tukun tiruan terlebih dahulu sebelum memulakannya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Perikanan negeri, Mohd. Fauzi Salehon berkata, perkara itu telah ditekankan kepada pemaju melibatkan beberapa kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi habitat dan pembiakan ikan.
“Jabatan Perikanan negeri menyarankan beberapa perkara yang perlu dilakukan pemaju sebelum memulakan projek KLIP ini termasuk melabur untuk meletakkan tukun-tukun tiruan di kawasan sasaran.
“Antara lokasi yang dikenal pasti berpotensi tinggi menjadi habitat dan pembiakan ikan adalah di Pulau Besar serta Pulau Undan,” katanya.
Akhbar ini pada Selasa melaporkan, KLIP bukan sahaja menimbulkan polemik kepada nelayan tetapi turut mengancam populasi penyu karah.
Semalam, Mohd. Fauzi menegaskan, Jabatan Perikanan telah mengingatkan dan menyarankan kepada kerajaan negeri agar tidak membenarkan sebarang pembangunan dilakukan di kawasan-kawasan rizab melibatkan pendaratan penyu karah.
Katanya, ia merupakan langkah berjaga-jaga untuk memastikan spesies terancam itu dapat terus mendarat di negeri ini tanpa sebarang masalah.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, peletakan tukun perlu dilakukan lebih awal memandangkan kawasan penangkapan ikan menjadi kecil sekiranya projek itu mula dijalankan.
“Kita tidak mahu timbul konflik di masa hadapan yang mana para nelayan yang turun ke laut demi mencari rezeki akhirnya terpaksa pulang dengan tangan kosong gara-gara kawasan penangkapan kecil dan stok laut berkurang.
“Dari pihak kami, sudah pasti kita juga mahu bekalan hasil laut ini meningkat dan bukannya berkurangan gara-gara pembangunan projek itu,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai pembinaan kelong, Mohd. Fauzi memberitahu, idea tersebut hanya sesuai untuk dijadikan sebahagian aktiviti rekreasi perikanan dan bukannya penternakan ikan. – UTUSAN ONLINE