MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menaruh harapan agar pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, sempat sembuh sebelum tempoh kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Paris, berakhir April ini.
Hannah mengakui bimbang dengan situasi melanda Tze Yong yang dihimpit kecederaan tulang belakang semasa diturunkan beraksi pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, baru-baru ini.
“Saya harap Tze Yong fokus pada pemulihan. Semoga beliau cepat sembuh dan sempat untuk kelayakan (Sukan Olimpik 2024),” katanya selepas merasmikan Siri Golf Amatur Kebangsaan 2024 pada Khamis.
Tze Yong yang diturunkan pada perlawanan suku akhir kejohanan itu menentang pemain Singapura, Jason Teh, Jumaat lepas, hanya bertahan kira-kira tiga minit sebelum menarik diri.

