PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menyumbang RM1 juta bagi Program ‘Pusat Audiometrik Bergerak (Mobile Hearing)’ yang pertama dengan kerjasama Yayasan Pelangi Malaysia (YAPEL) untuk membantu para asnaf yang mempunyai masalah pendengaran.
Menurut kenyataannya, program bersepadu ini merangkumi tiga aspek utama iaitu penyediaan Pusat Audiometrik Bergerak, program saringan dan pemberian alat bantuan pendengaran untuk asnaf.
Pusat Audiometrik Bergerak telah memulakan siri jelajahnya bermula tahun lepas dan mensasarkan sekurang-kurangnya 500 saringan percuma sebulan atau 6,000 saringan setahun.
Majlis Perasmian Pusat Audiometrik Bergerak telah diadakan di Kompleks Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP), Sg Ramal Dalam, Kajang dan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Syed Hamadah Syed Othman berkata, TH akan meneruskan usaha seperti ini bagi membantu lebih ramai lagi golongan daif, fakir dan miskin serta yang memerlukan demi meringankan beban dan tekanan kos sara hidup.
“Bagi program ini, TH menyerahkan sebuah kenderaan sebagai Pusat Audiometrik Bergerak, lengkap dengan dua unit bilik kedap bunyi, peranti saringan pendengaran seperti audiometer, alat bantu pendengaran serta khidmat kaunseling untuk membantu para asnaf yang memerlukannya,” katanya.
Tambahnya, kenderaan audiometrik telah mula bergerak di kawasan sekitar Lembah Klang dan Selangor serta merancang untuk merentasi seluruh Semenanjung Malaysia terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Program Pusat Audiometrik Bergerak merupakan sebahagian daripada ‘Projek Pelangi Hearing Malaysia’ diuruskan oleh YAPEL dengan sumbangan masa dan tenaga sukarelawan profesional dari bidang kesihatan.
YAPEL yang sebelumnya bergerak atas platform ‘Projek Pelangi – Dari Asnaf Kepada Asnaf’ kelolaan Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) telah memberi manfaat kepada lebih kurang 50,000 penerima melalui puluhan projek komuniti, pendidikan dan kesihatan.
Malaysia mempunyai seramai 44,208 orang kelainan upaya (OKU) dari golongan dewasa dan kanak-kanak yang berdaftar sehingga 30 September 2023.
Sementara itu, empat daripada 1,000 bayi yang menjalani Saringan Pendengaran Universal Neonatal (UNHS) di 44 hospital Kementerian Kesihatan (KKM) dikenal pasti mengalami masalah pendengaran jenis kekal. – UTUSAN