Peniaga mikro dan kecil Bumiputera diletakkan di kawasan tidak strategik

Peniaga mikro dan kecil Bumiputera diletakkan di kawasan tidak strategik

zahrin@bh.com.my

Putrajaya: Peniaga mikro dan kecil Bumiputera masih berhadapan pelbagai cabaran yang menyukarkan golongan itu bangkit dan bergerak ke arah skala lebih besar.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, golongan berkenaan perlu diletakkan di kawasan yang strategik bagi membolehkan perniagaan berkembang, namun apa yang berlaku ketika ini adalah sebaliknya.

Beliau berkata ramai peniaga berdepan isu penempatan disebabkan pihak berkuasa tempatan (PBT) kurang memahami ekosistem perniagaan.

“Peniaga nak kawasan strategik dan PBT kena ada jiwa nak bantu peniaga Bumiputera. Bumiputera nak cari rezeki tapi letak kawasan tak strategik macam mana mereka nak hidup.

“Selain itu masalah yang berterusan dihadapi adalah kerenah birokrasi dalam mendapatkan dana serta pinjaman. Sangat sukar untuk peniaga dan penjaja mendapatkan bantuan kewangan.

“Paling utama yang sehingga kini tiada agensi ke hadapan membantu adalah dalam soal kebajikan. Kebajikan peniaga terutamanya perlindungan sosial masih lagi lemah.

“Kerajaan perlu mendengar suara peniaga Bumiputera, jika tidak bagaimana Bumiputera ingin menguasai perniagaan korporat.

“Isu peniaga warga asing juga perlu diberikan penekanan kerana peniaga di Lembah Klang terutamanya banyak berhadapan dengan perkara ini, bersaing dengan peniaga asing di negara sendiri,” katanya ketika menjadi panel pada sesi Diskusi Madani 4: Peluang Meningkatkan Skala Usahawan Mikro dan Kecil sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di sini, semalam.

Turut menjadi panel pada sesi itu Setiausaha Agung Dayak Chamber of Commerce and Industry Sarawak (DCCI), Libat Langub; Naib Presiden Kadazandusun Chamber of Commerce and Industry Malaysia (KCCI), Datuk Stephen Sampil dan Ketua Pegawai Eksekutif Billplz, Nazroof Hakim manakala Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Junady Nawawi bertindak sebagai moderator.

Langub turut berpandangan peniaga Bumiputera di Sarawak selain berhadapan isu kewangan dan kebajikan, turut berdepan pelbagai cabaran infrastruktur.

Beliau berkata, peniaga di negeri itu berdepan dengan cabaran mendapatkan akses infrastruktur asas seperti jalan raya dan jaringan internet.

“Kalau berniaga tapi tiada asas infrastruktur ini bagaimana peniaga Bumiputera di Sarawak ingin pergi jauh. Justeru itu kebanyakan peniaga mikro dan kecil Sarawak kekal mikro dan kecil selamanya tanpa ada perkembangan,” katanya.

Sementara itu Stephen berkata peniaga mikro dan kecil di Sabah masih berada di tahap asas ketika ini.

Beliau berkata, keperluan peniaga di Sabah adalah berbeza dengan kehendak perniagaan di Semenanjung dengan kebanyakannya masih dalam proses memulakan perniagaan di peringkat asas.

Katanya, jika tahap asas juga masih belum menyeluruh bagaimana peniaga Bumiputera Sabah ingin bergerak ke tahap yang selanjutnya.

“Kerajaan perlu lebih memahami kehendak peniaga di Sabah dan Sarawak kerana budaya di sana adalah berbeza. Kehendak peniaga sana adalah keperluan asas dalam perniagaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top