Ahli gusti lengan besi

Ahli gusti lengan besi

asyikin.mat@hmetro.com.my

Hebatnya wanita ini kerana tidak pernah pulang dengan tangan kosong dalam hampir 50 pertandingan gusti lengan disertainya sejak lima tahun lalu.

Kekuatan tangannya cukup luar biasa yang membuatkan lawan sentiasa gagal untuk menumbangkan lengannya.

Kejayaan terbaharu dan tertinggi Nura Ain Osman, 34, ialah memenangi tempat ketiga kategori bawah 63 kilogram (kg) dalam Kejohanan Gusti Lengan Dunia IFA 2023 Malaysia di Bukit Jalil, September tahun lalu.

Kejohanan yang berlangsung di Pusat Pameran Pavilion Bukit Jalil itu disertai lebih 500 peserta dari 30 negara.

Nura Ain berkata, kejayaan itu memberi suntikan semangat kepadanya untuk menjadi pengusti lengan terbaik bukan sahaja di Malaysia tetapi juga dunia.

Menurutnya, dia menyedari ia bukan satu perjalanan yang mudah, namun tidak berputus asa dan akan bekerja keras untuk merealisasikan impian itu.

“Persediaan dilakukan dengan menjalani latihan mengangkat bebanan di gimnasium selama satu jam setiap hari.

“Selepas itu melakukan ‘sparring’ iaitu latihan gusti lengan bersama rakan satu latihan sebagai lawan.

“Latihan yang konsisten ini dapat membina kekuatan lengan dan ia penting untuk berhadapan dengan lawan mempunyai kekuatan lengan lebih kuat,”katanya.

Dia yang bekerja sebagai juruteknik berkata, pembabitan awalnya dalam gusti lengan atas ajakan rakan gimnasium dan percubaan pertamanya dalam pertandingan sulung ternyata berjaya meraih kemenangan.

“Kejayaan ini turut menarik perhatian Persatuan Gusti Lengan Negeri Melaka (PGLNM) dan menjadikan saya sebagai ahli persatuan berkenaan.

“Ini kerana PGLNM dapat mengesan bakat terpendam dan minat saya sebagai atlet gusti lengan.

“Perjuangan awal diteruskan hingga hari ini dan purata pertandingan disertai setiap tahun ialah kira-kira 10 kali,” katanya.

Ditanya cara dia membina kekuatan tangan ialah menerusi latihan yang konsisten mempelajari teknik menguatkan bahagian anggota itu, di samping pengambilan suplemen khas.

“Latihan ini dikendalikan Presiden PGLNM yang merangkap jurulatih dan saya salah seorang daripada dua pemain gusti lengan persatuan terbabit.

“Keberanian memasuki pertandingan peringkat dunia kerana mahu mencabar kemampuan diri dan bersyukur rezeki berpihak kepada saya.

“Tambahan pula penyertaan saya yang banyak dalam pertandingan peringkat kebangsaan dan Asia sebelum ini memberi kelebihan untuk layak ke peringkat dunia.

“Penilaian kelayakan dilakukan daripada penyertaan pertandingan peringkat kebangsaan dan Asia,” katanya.

Nura Ain berkata, pembabitan wanita dalam sukan itu semakin meningkat kebelakangan ini dan dapat melihat kehadiran bakat baharu dalam setiap pertandingan.

Jelasnya, ramai tidak berani menceburi sukan itu kerana tidak mengetahui bakat dimiliki.

“Pertandingan dianjurkan menjadi medan kemunculan bakat baharu dan juga mengesan potensi mereka untuk melangkah lebih jauh.

“Sebelum ini agak sukar melihat penyertaan wanita dalam pertandingan gusti lengan yang berkemungkinan kerana tanggapan sukan itu tidak popular di Malaysia.

“Namun saya percaya pada satu masa gusti lengan akan berkembang maju kerana Presiden Malaysia Armwrestling Federation (MYARM) sedang berusaha menaikkan sukan ini dan Malaysia sudah mula mempunyai ramai pelapis,” katanya.

Katanya lagi, senario berbeza di luar negara yang mana sukan itu sudah lama bertapak dan memiliki ramai pemain.

“Mereka sudah diperkenalkan dan dilatih gusti lengan sejak kecil dan berterusan hingga ke dewasa.

“Antara negara yang kuat dalam sukan gusti lengan ialah Georgia, Poland dan Ukraine.

“Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan semasa tidak mustahil Malaysia boleh mengatasi negara berkenaan pada masa hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top