Kuala Lumpur: “Saya ingin memohon maaf kepada semua atas apa yang terjadi,” kata pelakon Ruhainies mengenai dakwaan dia dan penyanyi, Aliff Aziz dicekup berkhalwat di sebuah kondominium mewah miliknya, di sini, semalam.
Ruhainies dalam satu hantaran terbaru di Instagram Story bagaimanapun menegaskan terdapat laporan tidak tepat berhubung kontroversi yang mengaitkan namanya dan Aliff.
“Bagi menjawab segala spekulasi atas apa yang sedang diperkatakan di semua platform media sosial, saya dengan rendah diri ingin nyatakan di sini, ada beberapa kenyataan yang kurang tepat tersebar.
“Saya juga berharap spekulasi ini dapat dihentikan sehingga saya memberikan kenyataan bagi mengelakkan daripada kekeliruan dan salah faham,” tulisnya.
Dalam pada itu, Aliff menerusi hantaran berbeza di Instagram Story memaklumkan dia bakal menjelaskan situasi sebenar mengenai kejadian yang berlaku itu.
“Bukan ingin menegakkan benang yang basah, sekadar berkongsi kepada yang ingin mendengar, insya-Allah.
“Selebihnya saya memohon maaf atas apa yang terjadi dan semoga keterangan yang akan saya sampaikan nanti sedikit sebanyak dapat menerangkan tanggapan semua,” katanya.
Menurut Aliff, dia turut memberitahu terdapat beberapa spekulasi dan laporan tidak tepat disebarkan sehingga boleh menimbulkan fitnah.
“Berdasarkan situasi yang berlaku semalam, terdapat banyak spekulasi dan laporan yang dibesar-besarkan mengenai apa yang sebenarnya berlaku.
“Tetapi saya juga faham tanggapan semua kerana keadaan itu sudah menimbulkan syak wasangka yang boleh menimbulkan fitnah.
“Seharusnya keadaan yang dapat dielak akan tetapi saya akan memberikan keterangan mengenai apa yang berlaku sebenarnya nanti bagi mengelakkan lebih salah faham mengenai apa yang terjadi,” katanya.
Semalam Harian Metro melaporkan penahanan pasangan pelakon selepas didakwa berkhalwat di sebuah kondominium mewah, di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




