Nyahaktif akaun media sosial kerana gagal bahasa Inggeris

Nyahaktif akaun media sosial kerana gagal bahasa Inggeris

Beijing: Gara-gara gagal dalam Ujian Band 4 Bahasa Inggeris Kolej kebangsaan China (CET-4), penulis blog China nekad berhenti berkongsi kandungan bahasa Inggeris di akaun laman sosialnya.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Zhou, 23, bertindak demikian kerana berasa sangat malu dan kecewa apabila hanya memperoleh 411 markah dalam keputusan ujian diumumkan pada 27 Februari lalu.

“Saya terkejut. Notis menghentikan kemas kini. Saya minta maaf dan sila nyahikut saya.

“Penulis blog pembelajaran bahasa Inggeris itu gagal CET-4,” tulis Zhou menerusi hantaran pada 3 Mac lalu.

Zhou mengaku mempunyai prestasi lemah dalam bahasa Inggeris, tidak mempunyai disiplin dan bimbang gagal dalam peperiksaan CET-4.

Pada April 2023, Zhou mendapat ilham mencipta akaun Xiaohongshu untuk pembelajaran bahasa Inggeris

Inisiatif itu dilakukan kerana mahu memotivasikan dirinya supaya lulus ujian pada Disember tahun lalu.

Zhou sentiasa memuat naik teks dan video mengenai cara untuk belajar bahasa Inggeris dan gembira apabila menyedari ia semakin popular.

Usaha yang dilakukannya untuk mengemas kini kandungan pembelajaran bahasa Inggeris blog itu dengan kerap, meningkatkan keyakinan untuk lulus ujian.

Dalam tempoh setahun, Zho mengumpul 92,000 pengikut, lapor Bailu Video.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top