PETALING JAYA: Penelitian dan kajian secara menyeluruh perlu dilaksanakan sebelum sesuatu produk diedarkan dalam pasaran, terutamanya bagi kedai rantaian di Malaysia.
Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Bin Mohd Yunus berkata, perkara ini memerlukan penguatkuasaan tindakan kerana telah menyentuh sensitiviti umat Islam melibatkan unsur penghinaan agama Islam sebagai agama persekutuan negara.
Katanya, pihak berkuasa perlu berupaya menangani isu ini daripada terus berleluasa serta kawalan agar ia tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak untuk kepentingan individu dan kelompok tertentu.
“Kami berpandangan ini merupakan satu perbuatan yang perlu dicegah lebih awal di peringkat penguatkuasaan.
“Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kompetensi yang cukup diyakini mampu mengawal perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, pihaknya melihat perkara ini perlu dinilai dan dikaji secara menyeluruh dalam setiap proses aktiviti rantaian bekalan di setiap peringkat penjualan.
“YADIM menyokong hasrat umat Islam di negara ini supaya segala bentuk pembekalan produk dan reka cipta barangan perlu diteliti dan diperhalusi dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai seorang muslim.
Dalam pada itu, Hasanuddin berkata, tindakan pantas pihak pengurusan syarikat berkenaan mengadakan sidang media permohonan maaf selain memberi jaminan ia tidak akan berlaku pada masa yang akan datang juga harus dipuji. – UTUSAN




