Sedekad McDonald's Malaysia imarah Ramadan, prihatin komuniti

Sedekad McDonald's Malaysia imarah Ramadan, prihatin komuniti

Kuala Lumpur: McDonald’s Malaysia meneruskan usaha kemasyarakatannya pada Ramadan dengan menaja hidangan moreh ke masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara.

Melalui program Titipan Kasih Ramadan Harian Metro Bersama McDonald’s Malaysia, syarikat yang menggajikan lebih 23,000 kakitangan di rangkaian restorannya di seluruh negara turut mengimarahkan Ramadan buat tahun ke-10 sejak 2015.

Program mengimarahkan bulan suci ini dilaksanakan menerusi restoran-restoran McDonald’s Malaysia di seluruh negara dan pada tahun ini, ia turut diperluaskan ke rumah anak-anak yatim.

Inisiatif diteruskan atas keprihatinan restoran khidmat segera terkemuka ini untuk menyantuni komuniti yang memerlukan sempena Ramadan, selain ingin berkongsi rezeki dengan masyarakat umum atas sokongan mereka terhadap McDonald’s Malaysia selama ini.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata Ramadan adalah bulan yang penting untuk umat Islam dan ia bukan sahaja mengenai keutamaan melakukan ibadat semata-mata. 

“Ia juga menekan soal insan yang mana kita digalakkan untuk bersedekah bagi meringankan beban mereka yang memerlukan. Sebagai syarikat sepenuhnya milik orang Islam, McDonald’s Malaysia akan terus menjadi jiran yang prihatin kepada komuniti di sekitar lokasi operasi kami,” katanya. 

Selain tajaan hidangan makanan, McDonald’s Malaysia menyampaikan sumbangan Kotak Rezeki, berupa barang keperluan harian kepada komuniti yang memerlukan seperti golongan ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah. 

“Setiap tahun, secara puratanya, kami akan menjelajah ke hampir 300 masjid dan surau melalui restoran-restoran kami yang berada di seluruh Malaysia untuk menyumbang hidangan moreh McDonald’s. 

“Pada tahun lalu, kami juga telah menaja moreh untuk pelajar-pelajar di 20 universiti awam bagi meringankan beban mereka dan meraikan Ramadan bersama,” tambah Azmir.

Zakat korporat RM12 juta

Bagi tahun ini, McDonald’s Malaysia membuka tirai program dengan mengunjungi Madrasah Al-Syukriah di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Tajaan hidangan moreh di rumah anak-anak yatim pula akan sumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Ronald’s McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), selaku badan kebajikan pilihan syarikat itu untuk menjalankan program berkenaan.

Sedekad McDonald's Malaysia imarah Ramadan, prihatin komuniti

Sebagai entiti 100 peratus milik orang Islam, antara inisiatif lain turut dijayakan McDonald’s Malaysia adalah pembayaran zakat korporat berjumlah hampir RM12 juta sejak syarikat itu mula membayar zakat pada tujuh tahun lalu.

Pada 2023 sahaja, sebanyak RM2 juta zakat korporat sudah disampaikan kepada institusi zakat yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam di setiap negeri.

Inisiatif-inisiatif berteraskan komuniti berkenaan adalah di bawah Program Komuniti McDonald’s Malaysia dan RMHC yang telah diperkenalkan pada 2017.

Program ini bertujuan menyantuni masyarakat setempat yang berdekatan dengan restoran McDonald’s melalui pelbagai usaha dengan jumlah pelaksanaan aktiviti mencecah 19,000 program setiap tahun.

Sepanjang 42 tahun McDonald’s di Malaysia, ia memberi perkhidmatan kepada lebih 13.5 juta pelanggan sebulan di lebih 360 restoran seluruh negara, juga mewujudkan pelbagai peluang perkembangan karier, latihan dan pembangunan untuk lebih 23,000 kakitangan di Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top