Singa gunung bunuh lelaki, cederakan adik mangsa

Singa gunung bunuh lelaki, cederakan adik mangsa

Los Angeles: Seekor singa gunung membunuh seorang lelaki berusia 21 tahun dan mencederakan adik lelaki mangsa dengan teruk pada Sabtu di kaki bukit di kawasan pergunungan Sierra Nevada di utara negeri California, Amerika Syarikat (AS).

Pihak berkuasa berkata, serangan itu adalah insiden maut pertama haiwan pemangsa berkenaan di negeri itu dalam tempoh 20 tahun.

Kedua-dua beradik itu diserang ketika mereka keluar mengutip tanduk rusa di kawasan hutan terpencil berhampiran Georgetown, bekas kem perlombongan emas di El Dorado County di timur laut Sacramento, kata pejabat syerif daerah.

Si adik berusia 18 tahun sempat meminta bantuan walaupun mengalami kecederaan traumatik di mukanya, kata Pejabat Syerif Daerah El Dorado dalam satu kenyataan media.

Tidak lama kemudian, timbalan syerif yang mencari si abang mendapati singa gunung itu meringkuk berhampiran badan mangsa di atas tanah, sebelum dia bertindak melepaskan tembakan untuk menakutkan haiwan itu.

Pihak berkuasa kemudian ke kawasan itu menjejaki singa berkenaan dan berjaya membunuhnya, kata pejabat syerif dalam satu kenyataan .

Bangkai singa dihantar ke makmal forensik untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan mengetahui maklumat lain mengenai haiwan itu.

Dalam kemas kini pada Ahad, pejabat syerif berkata, adik kepada mangsa yang maut, sudah menjalani beberapa pembedahan untuk kecederaannya dan dijangka pulih sepenuhnya.

Pihak berkuasa tidak mendedahkan nama kedua-dua mangsa.

Singa gunung juga dikenali sebagai kugar atau puma, sebahagian besarnya adalah pemangsa bersendirian yang boleh didapati di seluruh barat AS dan Kanada.

Kebanyakannya mengelak daripada manusia dan serangan terhadap manusia, jarang berlaku.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top