Pas kecam insiden baling bom petrol di KK Mart

Pas kecam insiden baling bom petrol di KK Mart

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pas mengecam insiden membaling bom petrol di cawangan KK Mart di Bidor, Perak, awal pagi semalam sekali gus mahu semua pihak tidak saling menuding jari.

Ketua Penerangannya Ahmad Fadhli Shaari berkata, tidak ada sebarang ruang untuk dibiarkan perbuatan membaling bom ini menjadi norma dalam masyarakat atas apa jua alasan sekalipun.

“Undang-undang dan keadilan tidak boleh terlaksana melalui tangan sendiri secara individu kerana kita mempunyai kerajaan dan pihak penguat kuasa undang-undang diberikan hak di dalam perlembagaan.

“Saya rakamkan takziah dan simpati kepada pihak yang menjadi mangsa dalam insiden balingan bom petrol ini,” katanya dalam kenyataan di Fecebooknya, hari ini.

Katanya, menuding jari kepada mana-mana pihak juga satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

“Kita sudah melihat bagaimana dalam insiden khianat yang melibatkan rumah Ahli Parlimen Beruas tahun lalu, di mana pada awalnya terdapat usaha mengaitkannya dengan isu politik sebagai punca, namun akhinya siasatan pihak polis menunjukkan sebaliknya.

“Biarpun masih tiada sebarang pendakwaan dalam kes ini, ternyata ada pihak sudah dicalarkan imejnya hasil daripada perbuatan mengeluarkan kenyataan awal mendahului pihak berkuasa,” katanya.

Dalam isu bom petrol di Bidor ini, katanya, masih terlalu awal untuk mengaitkannya dengan mana-mana insiden terdahulu.

“Jangan ada pihak yang menjadi mangsa persepsi sebelum siasatan menyeluruh dilakukan oleh pihak polis,” katanya.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dipetik berkata, siasatan awal polis mendapati bom petrol yang dilempar ke kedai serbaneka itu dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki yang menaiki kereta kira-kira 5.35 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top