CHIANG MAI: Puak bersenjata etnik Myanmar di sempadan Thailand memberi amaran akan bertindak sekiranya junta tentera terus membunuh penunjuk perasaan.
Sekurang-kurangnya 77 penunjuk perasaan dibunuh pasukan keselamatan hari ini di seluruh Myanmar ketika junta menyambut Hari Angkatan Tentera.
Ketua Majlis Pemulihan Negara Shan/Tentera Negeri Shan-Selatan (RCSS), Jeneral Yawd Serk, berkata Hari Angkatan Bersenjata Myanmar tahun ini umpama ‘hari membunuh orang’.
“Ia bukan untuk melindungi demokrasi tetapi bagaimana mereka merosakkan demokrasi semata-mata untuk kekal berkuasa.
“Sekiranya mereka terus menembak penunjuk perasaan dan menggertak orang awam, saya rasa semua etnik tidak akan hanya berdiam diri tanpa melakukan apa-apa,” katanya.
RCSS, yang beroperasi berhampiran sempadan Thailand, adalah satu daripada beberapa kumpulan bersenjata etnik yang mengecam rampasan kuasa dan berjanji akan bersama penunjuk perasaan.
24 etnik bersenjata Myanmar menguasai banyak wilayah di serata negara itu.
Jumlah kematian krisis di Myanmar kini meningkat melebihi 415 mangsa, berikutan usaha tentera untuk membendung tentangan yang berleluasa terhadap rampasan kuasa.
Penunjuk perasaan turut meminta pembentukan tentera persekutuan dan Yawd Serk menyokong usaha itu.
“Kumpulan bersenjata etnik sekarang mempunyai musuh yang serupa dan kita perlu berganding bahu untuk menentangnya,” katanya. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




