Lelaki mandi sungai di Tasik Kenyir dikhuatiri lemas

Lelaki mandi sungai di Tasik Kenyir dikhuatiri lemas

HULU TERENGGANU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Petuang, Tasik Kenyir, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 6.20 petang berhubung kejadian yang menimpa mangsa berasal dari Dungun, Ami Azzizol Abu Bakri, 22.

Terdahulu dalam insiden kira-kira jam 5.50 petang itu, beliau berkata, beberapa saksi termasuk ahli keluarga Ami Azzizol, dikatakan melihat mangsa berenang dari sebuah rumah rakit untuk mandi di sungai berkenaan.

“Namun tidak lama kemudian, saksi dikatakan nampak mangsa terkapai-kapai meminta tolong dipercayai mengalami kekejangan otot.

“Seorang daripada saksi terbabit yang juga anak pemilik rumah rakit, dikatakan cuba memberi pertolongan tetapi hampir lemas kerana mangsa memaut belakangnya.

“Mangsa kemudian dilaporkan terus tenggelam dan tidak dapat diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Mohd Adli berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, semalam.

Katanya, operasi itu membabitkan 46 orang meliputi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam, namun belum menemukan sebarang petunjuk.

“Sehubungan itu, operasi SAR diteruskan kira-kira jam 8 pagi ini,” katanya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top