BUSANA@Menara MARA kekal jadi pusat beli-belah popular warga kota

BUSANA@Menara MARA kekal jadi pusat beli-belah popular warga kota

KUALA LUMPUR – BUSANA@Menara MARA kekal menjadi pusat beli-belah pilihan warga kota apabila dikunjungi lebih 250,000 pengunjung pada Karnival WOW Raya sepanjang Ramadan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MARA Incorporated Sdn. Bhd. (MARA Inc.), Ts Mohd. Fadzil Mohd. Idris berkata, sambutan luar biasa itu membuktikan pusat beli-belah itu mempunyai pelanggan yang setia walaupun perlu bersaing dengan pusat beli-belah terkemuka yang lain.

Menurut beliau, nilai jualan pula yang dijana oleh usahawan pada Karnival WOW Raya mencecahkan RM600,000 yang menunjukkan trend membeli-belah secara fizikal masih menjadi budaya orang ramai untuk membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Kalau kita tengok budaya Masyarakat dari zaman kanak-kanak, azalinya kita akan membeli-belah secara fizikal terutamanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang terkenal dengan kemeriahan bukan sahaja pakaian tetapi makanan untuk menjamu selera selain dapat berkumpul bersama keluarga dan kawan.

“Mungkin beli-belah atas talian ini adalah trend baharu dan masih ada lagi pasarannya dan tambahan daripada itu, semasa Covid-19 ia sangat efektif. Tetapi kalau kita tengok trend, masih terdapat Masyarakat yang masih gemar keluar pergi membeli-belah dan apatah lagi banyak pilihan terdapat di BUSANA@Menara Menara,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MARA Incorporated Sdn Bhd, Ts Mohd Fadzil Mohd Idris menyampaikan hadiah kepada penerima hadiah Cabutan Bertuah WOW RAYA Busana 2024 di Busana@Menara Mara, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 30 APRIL 2024.

BUSANA@Menara MARA adalah pusat beli-belah lima tingkat terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur yang dikendalikan MARA Inc iaitu sebuah anak syarikat milik penuh MARA Corporation.

MARA Inc berperanan mempromosikan usahawan Bumiputera selaras dengan peranan strategiknya dalam sektor ekonomi.

la turut menguruskan pelbagai portfolio hartanah dalam dan luar negara termasuk Hotel Premiera Kuala Lumpur serta di United Kingdom dan Australia.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil berkata, Mara Inc telah merancang beberapa inisiatif untuk diteruskan untuk menjalankan kempen pemasaran kesedaran kepada orang mengenai produk baharu yang terdapat di BUSANA@Menara MARA.

Beliau berkata, ruang juga akan ditambah bagi memenuhi keperluan hartanah dalam usaha memastikan bisnes penyewa dapat diterus untuk tempoh jangka masa panjang.

“Kami memiliki pihak kepentingan yang ramai di mana kadar penyewaan telah mencecah 90 peratus dan menjangkakan mencapai 100 peratus pada tahun ini. Di samping itu, kita akan bekerjasama dengan jiran sekeliling untuk tambah baik dari segi guna pakai bersama dengan kemudahan sedia ada.

“BUSANA@Menara MARA ada pasaran sendiri dan produk yang ditawarkan adalah niche selain mencipta inkubator kepada usahawan untuk memulakan perniagaan sebelum mereka keluar ke pasaran lebih luas apabila berjaya kelak,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Fadzil memberitahu, penganjuran Karnival WOW Raya merupakan sebahagian strategi pemasaran berterusan syarikat itu menghargai pengunjung berbelanja lebih RM150 untuk memenangi cabutan bertuah.

Antara hadiah ditawarkan adalah iPad Generasi ke 10, sebuah pembersih vakum Perysmith X Barbie Cordiess dan kepingan emas seberat 0.5 gram setiap yang mendapat tajaan syarikat daripada Premiera Hotel Kuala Lumpur, Ramun Delights, PenyetPenyet.com, Nor Arfa Batik. – MalaysiaGazette

Ketua Pegawai Eksekutif MARA Incorporated Sdn Bhd, Ts Mohd Fadzil Mohd Idris bergambar bersama pemenang ketika Majlis Penyampaian Hadiah : Cabutan Bertuah WOW RAYA Busana 2024 di Busana@Menara Mara, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 30 APRIL 2024.

 

Scroll to Top