Masyarakat dunia sudah sedar bahawa alam sekitar kita pada waktu ini sudah mula tidak stabil. Gelombang haba yang melanda dunia merupakan satu bukti menunjukkan bahawa ekosistem alam sekitar sudah tidak stabil.
Begitu juga pertukaran musim yang bercanggah pada waktunya juga menunjukkan ketidakstabilan yang berlaku di atas muka bumi. Ini disebabkan ketamakan manusia dalam mempercepatkan proses pembangunan dan penjanaan ekonomi tanpa menghiraukan unsur kehidupan yang lain seperti haiwan, tumbuhan, gunung-ganang dan perkara-perkara yang lain.
Adapun dalam agama Islam, penjagaan alam sekitar ialah satu daripada unsur ibadah yang ditaklifkan ke atas seorang Muslim kerana ia merangkumi hḥukum taklif iaitu wajib, sunat, harus, haram dan makruh. Dalam pandangan agama Islam, penjagaan alam sekitar bukanlah satu undang-undang perletakan manusia bahkan ia merupakan salah satu tanda keagamaan dan salah satu tanda ketaatan kepada Tuhan Maha Pencipta. Bahkan ia adalah salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah SWT. Maka bagi orang Islam, penjagaan alam sekitar itu ialah keagamaan sebelum ia menjadi undang-undang kemanusiaan. Sebagai contoh, dalam perundangan Islam menyebutkan tidak boleh ke atas orang Islam itu membazirkan air walaupun ketika berwuduk di dalam sungai sekali pun.
Setiap ciptaan Allah SWT sama ada pekara yang bernyawa seperti manusia dan haiwan ataupun perkara yang tidak bernyawa seperti batu-bata, gunung-ganang, lautan dan apa yang ada di atas muka bumi ini kewujudannya bukanlah satu perkara yang sia-sia. Allah SWT berfirman dalam surah ad-Dukhān, ayat 38-39: Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara sia-sia; Tidaklah Kami menciptakan keduanya (serta segala yang ada diantaranya) melainkan kerana menzahirkan perkara-perkara yang benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).
Ayat yang telah disebut jelas menunjukkan ciptaan Allah SWT mengandungi apa yang di bumi dan langit serta apa yang ada di antara keduanya. Bahkan perkara selain zat yang qadīm (Allah SWT) adalah hādith (ciptaan-Nya). Maka Allah SWT menciptakan semua makhluk ciptaan-Nya dengan hikmah-Nya yang selari dengan kehendak-Nya dan ilmu-Nya.
Ayat yang telah disebutkan juga menunjukkan kebanyakan makhluk-Nya khususnya manusia tidak mengetahui hakikat dan hikmah daripada ciptaan-Nya. Maka golongan yang tidak mengetahui ini bermudah-mudahan merubah cipataan-Nya dengan menghancurkannya dan menukarkannya daripada asal ciptaan-Nya sehinggalah perkara ini menggerakkan masyarakat dunia menjaga alam sekitar disebabkan perubahan iklim untuk menyelamat kehidupan mereka disebabkan perubahan cuaca yang drastik.
Apabila seorang Muslim itu mengetahui dan yakin dengan hikmah ciptaan Allah SWT, sudah tentu dalam masa yang sama dia akan mendapati merosakkan sistem kehidupan yang diciptakan oleh pencipta-Nya ialah tanda kepada ingkar pada iradah (kehendak) Allah SWT dan hikmah ciptaan-Nya antaranya: haiwan, tumbuh-tumbuhan, air, udara dan sebagainya.
Dengan pemahaman inilah kita memahami apa yang telah disebutkan di dalam perundangan Islam (ilmu fiqh) diharamkan bagi seseorang itu memburu dengan tujuan berseronok-seronok. Hukum ini disebutkan secara terperinci dalam salah satu bab feqah yang dikenali sebagai bab aṣ-Ṣaid (pemburuan). Berkata Imam Malik RA (w.179H): “Aku tidak berpendapat seseorang itu dibolehkan ke atasnya untuk memburu kecuali ke atasnya ada satu keperluan untuk memanfaatkan dengan binatang buruan tersebut. Aku juga tidak melihat pemburuan itu dibolehkan dengan untuk berseronok-seronok sahaja, maka siapa yang memburu dengan tujuan tersebut tidak boleh ke atasnya untuk mengqasarkan solatnya jika dia dalam bermusafir dalam aktiviti pemburuan.”
Manusia adalah makhluk yang istimewa dan dimuliakan oleh Allah SWT berdasarkan firmaNya di dalam surah al-Isrā’, ayat 70: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
Walaupun dengan wujudnya keistimewaan pada manusia ia tidak menunjukkan bahawa kita boleh menghapuskan kewujudan ciptaan Allah SWT yang lain.
Bahkan manusia dan ciptaan yang lain, semuanya adalah makhluk ciptaan Allah SWT. Perkara inilah yang dikenali dalam bahasa Arab sebagai Waḥdatu al-Khalq (kesatuan penciptaan). Maka makna Waḥdatu al-Khalq perlu untuk selalu kita sematkan di dalam diri kita bahawa kita dan alam sekitar adalah komponen ciptaan Allah SWT. Perkara ini jelas disebutkan di dalam al-Quran bahawasanya manusia dan makhluk yang lain seperti satu umat menurut kefahaman Waḥdatu al-Khalq. Allah SWT berfirman di dalam surah al-An’ām, ayat 38: “Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu wahai manusia.”
Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
Manusia mempunyai ciri-ciri yang sama dengan makhluk ciptaan Allah SWT yang lain. Ini kerana manusia itu sejenis hidupan yang memerlukan kepada pemakanan, pembiakan dan beranak-pinak, maka sifat-sifat ini meletakkan manusia adalah salah spesies makhluk yang sama seperti haiwan. Hubungan keterkaitan inilah yang menjadikan agama Islam mewajibkan ke atas manusia hubungan berkasih sayang dengan haiwan. Ini adalah seperti yang telah disebutkan di dalam sebuah hadith daripada sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: “Pada suatu ketika ada seorang laki-laki sedang berjalan melalui suatu jalan, lalu dia merasa sangat kehausan. Lalu dia menemukan sebuah perigi, maka dia turun ke dalam perigi tersebut untuk minum.
Setelah dia keluar dari perigi, dia melihat seekor anjing menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah karana kehausan. Lalu lelaki tersebut berkata dalam hatinya; alangkah hausnya anjing ini sepertimana yang baru aku alami. Maka, orang tersebut turun kembali ke dalam perigi, kemudian dia menceduk air dengan kasutnya. Lalu, dibawanya ke atas dan diminumkan air tersebut kepada anjing itu. Maka Allah berterima kasih kepada lelaki itu (diterima-Nya amalnya) dan diampuni dosanya. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah kami akan mendapat pahala apabila melakukan perbuatan seperti ini pada haiwan?” Baginda berkata: “Ya, pada setiap perkara yang mempunyai hati yang hidup maka ada padanya pahala.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Sepertimana yang telah disebutkan, makhluk Allah SWT adalah satu bentuk tajalliyāt (penjelmaan) hikmah Allah SWT. Semua makhluk ciptaan Allah SWT adalah hamba kepada Sang Pencipta. Agama Islam menggalakkan pembinaan hubungan baik antara manusia dan komponen ciptaan yang lain (alam sekitar). Di dalam al-Quran dan hadis banyak menunjukkan makna mengasaskan hubungan antara manusia dan alam sekitar, antaranya:
Pertama: Hubungan manusia dengan muka bumi Allah SWT telah menjelaskan bahawa manusia diciptakan daripada unsur turāb (tanah) yang dicampurkan padanya air lalu menjadi ṭīn (tanah liat). Seterusnya tanah liat tersebut dibakar menjadi fakhār (tanah liat kering seperti tembikar). Perkara ini diterangkan di dalam
firman Allah SWT di dalam surah Fāṭir, ayat 11: “Dan Allah menciptakan kamu dari tanah.”
Kedua: Hubungan manusia dengan bulan. Diriwayatkan di dalam hadis Nabi SAW besabda: “Ya Allah jadikanlah permulaan bulan ini dengan keberkatan, keimanan, selamat dan sejahtera. Sesungguhnya Tuhanmu (anak bulan) dan Tuhanku ialah Allah SWT.” (HR Ahmad )
Adapun apa yang telah disebutkan di dalam munajat Nabi SAW: “Sesungguhnya Tuhanmu (anak bulan) dan Tuhanku ialah Allah SWT” menunjukkan kepada manusia dan bulan adalah makhluk ciptaan Allah SWT dan berkongsi sifat al-‘Ubudiyyah (kehambaan). Ini juga menunjukkan setiap makhluk bemunājāt kepada Allah SWT, akan tetapi manusia tidak memahaminya.
Ketiga: Hubungan dengan gunung-ganang . Diriwayatkan oleh Nabi SAW ketika baginda mendaki gunung Uhud dan baginda berkata: “Gunung ini mencintai kami dan kami mencintainya.” (HR al-Bukhari)
Penulis Felo Penyelidik Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




