Pendidikan agama seharusnya diutama dan diberikan keutamaan oleh semua pihak. Baik oleh pemerintah, mahupun masyarakat.
Hal ini memandangkan suasana semasa yang begitu gawat dengan aneka gejala negatif sedikit sebanyak mencelikkan mata hati kita untuk lebih mengarah kepada memberi pendidikan agama yang lebih intensif kepada anak.
Sejarah secara jelas memaparkan berkaitan sikap ambil berat masyarakat sejak dahulu dalam aspek memberikan pendidikan agama untuk anak-anak. Buktinya ialah penubuhan sekolah pondok dan madrasah yang dulu tumbuh seperti cendawan di musim hujan.
Hingga kini, sekolah pondok dan madrasah yang dibina sejak awal penyebaran Islam di Nusantara ini masih kekal digunakan untuk menyebarkan ilmu Islam kepada penduduk setempat, khususnya kepada kanak-kanak.
Pergi ke Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak dan Pahang, maka sekolah pondok dan madrasah tidak susah untuk ditemui. Dari sekolah pondok dan madrasah ini lahir ribuan ilmuwan agama atau lebih dikenali masa kini dengan panggilan agamawan. Alumni sekolah pondok dan madrasah kampung ini yang kemudian keluar ke seluruh negara mencurahkan ilmu agama demi kepentingan masyarakat.
Selepas negara kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, aspek pendidikan agama masih kekal diberikan perhatian utama dan ia sedikitpun tidak pernah dianaktirikan oleh pemerintah. Buktinya, lihat Sekolah Menegah Kebangsaan Agama (SMKA) yang dibina khususnya buat mendidik anak bangsa secara lebih sistematik dan diperlengkapkan dengan pelbagai infrastruktur moden.
Di Bandar Muadzam Shah, Pahang misalnya sudahpun mempunyai sebuah sekolah agama yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Pahang dan kini SMKA Pahang itu masih utuh melahirkan pelajar yang berkualiti tinggi setaraf dengan lulusan sekolah biasa yang lain. Malah, lulusan sekolah itu memiliki dua kelebihan iaitu pintar dalam akademik normal dan celik ilmu agama. Jadi, tidak hairan mengapa ibu bapa sekarang begitu mengharapkan anak mereka juga terpilih untuk belajar di sekolah berkenaan.
Kini, langkah demi langkah sudah dan sedang disusun pihak berwajib dalam aspek menyalurkan pendidikan Islam secara lebih baik dan mengikut pendekatan moden. Meskipun demikian, hala tuju dan objektif murni untuk menghasilkan pelajar yang berilmu tinggi dalam agama dan unggul dalam akhlak tidak pernah dijadikan matlamat sampingan.
Pada kita, langkah dan kaedah yang diambil oleh kebanyakan negeri di negara kita pada masa ini untuk ‘memodenkan’ sistem pengajian Islam sewajarnya disokong penuh. Ini kerana penubuhan madrasah moden yang menggabungjalinkan dua kurikulum iaitu akademik biasa dengan pengajian agama sangat bertepatan dalam melahirkan generasi muda berilmu tinggi dalam dwi bidang. Mereka bakal menguasai lapangan ilmu agama dengan mantap dan mampu mendalami ilmu akademik biasa. Jadi, langkah penubuhan madrasah moden itu adalah pendekatan terbaik dalam menjana watak insan Muslim yang bukan sekadar mampu bercakap soal agama sahaja, sebalik boleh menguasai bidang ilmu lain dengan yakin.
Selain bahasa Arab, pelajar di madrasah moden itu juga akan belajar bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Ini sedikit sebanyak memberi pendedahan awal kepada pelajar jika ingin meneruskan pengajian di luar negara. Memang penubuhan madrasah moden itu nampak begitu unik dan memiliki ciri-ciri menepati kehendak agama.
Selama ini, apabila disebut sahaja penuntut sekolah pondok atau madrasah, maka pandangan kita lebih menjurus kepada pelajar itu hanya arif dan mahir dalam selok-belok ilmu agama semata-mata. Lalu hati kita mungkin berkata, ‘Ah, pelajar-pelajar ini hanya layak menjadi ustaz kampung dan tok imam di surau sahajalah nanti apabila tamat pengajian.’
Tanggapan sebegini tidak boleh lari dari pemikiran masyarakat kerana sudah menjadi objektif sejarah penubuhan sekolah pondok dan madrasah sejak dulu tidak lain hanya tertumpu kepada bidang pengajian agama.
Pendekatan terkini itu dirasakan masih tidak terkeluar dari landasan asal. Cuma diberikan penambahbaikan supaya ia selari dengan perkembangan semasa. Langkah itu tidak seharusnya kita lihat sebagai ‘mencabuli’ imej madrasah tradisional. Kita wajib melihat perkembangan dan penubuhan yang dilaksanakan itu sebagai suatu langkah untuk menjadikan anak-anak kita lebih terkehadapan dan maju dalam serba serbi lapangan ilmu. Ilmu agama kita mahu anak-anak kita kuasainya, manakala ilmu akademik biasa pun juga kita harapkan anak-anak kita berjaya memahirkannya juga.
Dalam zaman yang semakin mencabar ini, tentu sekali kita sangat mengharapkan akan lahirnya generasi muda Muslim yang mahir ilmu dunia dan celik akhirat. Dengan adanya dua bidang ilmu itu, maka dirasakan anak-anak kita nanti mampu mendepani apa sahaja permasalahan dan cabaran kehidupan. Tentu sekali ilmu yang diperoleh itu bakal menjadikan jiwa mereka utuh berpadu dalam ketaatan kepada perintah agama dengan jiwa bertakwa yang tinggi, kental menjunjung peribadi beradab murni dan unggul terampilan ilmu dunia.
Ini ciri-ciri anak masa depan yang kita idamkan dan Insya-Allah dengan langkah dan pendekatan bersungguh-sungguh harapan dan impian untuk melihat munculnya generasi muda muslim bertaraf ulul albab dalam pelbagai bidang akan menjadi realiti suatu masa nanti, insya-Allah.
Kini, pendidikan di institusi pengajian Islam berteraskan sistem madrasah bercirikan kemodenan di seluruh negara sudah menampakkan gaya perdana dengan pelbagai pendekatan baharu yang dilakukan demi mengangkat imej dan martabat pengajian Islam, sekali gus mampu melahirkan agamawan yang memiliki pelbagai ilmu. Semoga pengajian Islam terus berkembang maju dengan berkat usaha semua pihak dan disokong kuat oleh anggota masyarakat.
Sesungguhnya, pendidikan Islam yang dilaksanakan dengan sistematik dengan mengambil kira keperluan terkini mampu melahirkan generasi muda yang seimbang dalam menguasai ilmu agama dan berkemahiran dalam ilmu duniawi yang lain.
Insya-Allah, dengan wujudnya sistem pengajian Islam yang bersistematik berkeupayaan memberikan ‘tarbiyatul fardi’ iaitu membina individu Muslim atas landasan iman yang kukuh, malah ‘tarbiyatun nafs’ iaitu membina jiwa mampu diserlah dengan lebih berkesan. Insan yang kukuh iman bersandarkan kekuatan jiwa itu, Insya-Allah akan menghasilkan generasi mengukuhkan kecemerlangan ummah.
Penulis Pensyarah Politeknik Muadzam Shah
© New Straits Times Press (M) Bhd




