SIK: Seorang lelaki warganegara Bangladesh maut manakala tiga lagi rakan senegaranya cedera selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di sini, hari ini.
Kemalangan dilaporkan berlaku di Jalan Jeniang berhampiran Kampung Gajah Puteh dekat sini, kira-kira jam 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman berkata, mangsa yang maut adalah pekerja kontrak dikenali sebagai Babul Mohammad Azaharul Islam, 32, yang memandu pikap Toyota Hilux.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala, maut di lokasi kejadian manakala tiga rakannya mengalami kecederaan dalaman.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku selepas pikap dipandu mangsa keluar dari satu simpang memasuki jalan utama dan dilanggar lori dipandu seorang lelaki sedang melalui jalan itu yang tidak sempat menekan brek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, akibat perlanggaran itu kedua-dua kenderaan terbabas ke tengah jalan, bagaimanapun pemandu lori berkenaan tidak mengalami kecederaan.
Beliau memberitahu, mayat mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, polis masih menyiasat identiti tiga lagi warganegara Bangladesh yang mengalami kecederaan dan menghubungi majikan mereka di Kuala Lumpur berhubung kemalangan itu.
Sementara itu, Pegawai Komander Operasi Kanan Bertugas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kedah, Amir Ridzwan Shah Rofiee berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 10.13 pagi dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.
“Setiba di lokasi, terdapat empat mangsa dengan seorang daripada mereka maut di lokasi kejadian dan tiga mangsa mengalami kecederaan. Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut,” katanya. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




