sudirman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dulu guru duka lara, sekarang tidak lagi. Pengalaman lapan tahun mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lemanak, Lubok Antu, Sri Aman, Sarawak sesuatu yang cukup berharga dan tidak akan dilupakan Ahmad Faqih Pauzi, 34.
Menurutnya, sepanjang berjauhan dengan keluarga, isteri tercinta yang juga guru di SK Taman Samudera, Batu Caves, Selangor ketika itu sangat memberikan sokongan.
“Saya mula mengajar di SK Ulu Lemanak dari 2013 hingga 2021. Selepas lima tahun perkhidmatan, baru saya mohon pindah ke Kelantan tapi saya dapat di SK Menson, Cameron Highlands pada Julai 2021.
“Setiap kali isi permohonan, saya tidak meletakkan harapan tinggi, sebab tahu memang susah. Saya mampu cakap, kalau ada rezeki ada lah.
“Ketika di awal penempatan, saya masih bujang dan dua tahun selepas itu baru berkahwin. Kiranya, hampir enam tahun juga berjauhan dengan isteri dan dua anak ketika itu. Dapat jumpa mereka pun masa cuti sekolah saja.
“Sebenarnya, guru duka lara ini apa yang penting adalah sokongan daripada isteri, keluarga dan orang sekeliling. Kalau tidak ada, memang akan terasa susah, lagi satu, saya selalu tanam pada diri, susah macam mana kita rasa, ada lagi orang lebih susah daripada kita. Itu yang membuat saya kuat di sana,” katanya kepada Harian Metro.
Mengenang kembali sepanjang perkhidmatan di sana, Ahmad Faqih berkata, segalanya dipermudahkan biarpun tidak seindah guru di tempat lain.
Menurutnya, dia perlu menempuh perjalanan sejauh 100 kilometer (km) sehala jika mahu ke pusat bandar pada setiap hujung minggu.
“Sepanjang duduk di sana, memang agak susah sebab saya di sekolah pedalaman cuma saya beruntung kerana persekitaran kerja yang sangat membantu terutama dalam kalangan pentadbir dan rakan sekerja.
“Mungkin orang cakap sekolah pedalaman tak seronok tapi sebaliknya. Memang ada masalah, tapi rasa susah itu berbaloi apabila ada orang sekeliling yang baik.
“Memandangkan saya tinggal di kawasan sekolah, jadi sesekali akan menempuh perjalanan jauh kalau nak ke bandar. Perjalanan 40km jalan balak dan perjalanan biasa 60km. Kiranya, 100km sehala kalau nak ke bandar Sri Aman,” katanya.
Menurutnya yang kini berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Cameron Highlands, lebih menggembirakan apabila permohonan pertukarannya itu turut disertai isteri.
“Saya mula nekad minta pindah selepas prosedur operasi standard (SOP) yang memerlukan kuarantin dua minggu sebelum pulang ke sekolah iaitu ketika musim Covid-19. Bagi saya ia agak memenatkan dan buang masa.
“Alhamdulillah, rezeki saya dan isteri apabila permohonan pindah bersama diterima. Ketika itu isteri pun mohon untuk mengajar di kampungnya dan dia ditempatkan di SK Tanah Rata, Pahang,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi bekas guru duka lara iaitu Ahmad Asnawi Ashari, 36, bersyukur apabila dia kini dapat berkhidmat di negeri kelahirannya iaitu di SK Blau, Gua Musang, Kelantan, sejak Jun 2019.
Menurutnya, dia sebelum itu berkhidmat di SK Nanga Kesit, Lubok Antu, Sri Aman selama tujuh tahun.
“Setiap tahun sejak dipindahkan ke sekolah itu saya buat permohonan pindah ke Kelantan. Walaupun tahu memang susah nak dapat, tapi guru besar sekolah sangat ‘sporting’. Dia menyokong saja.
“Sewaktu mula mengajar saya bujang lagi dan dua tahun selepas itu baru kahwin. Masa menjadi guru duka lara saya ada dua anak, keluarga saya ketika itu berada di Bachok, Kelantan.
“Sangat bersyukur kerana akhirnya dapat berpindah juga. Memang seronok. Biarpun sekarang ini berada di Gua Musang, tapi tidaklah sejauh sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, di awal penempatan dia berdepan kesukaran memahami budaya dan budaya penduduk di sana yang majoriti adalah suku Iban.
“Tahun pertama di sana agak susah juga sebab perbezaan budaya dan bahasa. Masuk tahun kedua saya dah mulai faham dan akhirnya menjadi seronok.
“Saya berada di kawasan suku Iban, apa boleh dikatakan susah nak cari orang macam mereka yang mana rajin dan suka membantu. Pendek kata, mereka sangat mengalu-alukan orang luar.
“Daripada anak murid sampai ibu bapa, semuanya memberi sokongan dengan baik,” katanya.
Menurutnya, buat guru yang masih tidak dapat berpindah diharap terus bersabar.
“Kena banyak sabar dan berdoa. Semoga suatu hari nanti dapat pindah dan bersama keluarga masing-masing.
“Tinggal berjauhan dengan pasangan ini kalau tak sabar, memang rumah tangga boleh hancur. Apatah lagi kalau tak boleh nak kawal diri, akan bermasalah. Buktinya, saya ada saja kawan-kawan yang sebegitu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




