am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Wanita warga emas kerugian lebih RM300,000 selepas terpedaya dengan penipuan ‘panggilan scam’ oleh individu yang menyamar sebagai polis.
Mangsa berusia 60 tahun mendakwa menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pada 6 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata dalam perbualan itu, mangsa diberitahu dia terbabit dalam sindiket penggubahan wang haram.
Menurutnya, mangsa diugut akan ditangkap manakala wang milik wanita itu dalam akaun dibekukan.
“Suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan kononnya mahu menjalankan siasatan dengan Audit Negara.
“Pada 19 Mei lalu, mangsa membuat pindahan ke dalam akaun berbeza secara berperingkat sebanyak RM66,050.
“Isnin lalu mangsa membuat semakan melalui sistem perbankan dalam talian dan mendapati berlaku pengurangan wang sebanyak RM244,945 dalam akaunnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya lagi, disebabkan itu mangsa mendakwa mengalami kerugian RM310,995 sebelum membuat laporan polis.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




