9 daripada 10 kanak-kanak Gaza alami krisis makanan teruk

9 daripada 10 kanak-kanak Gaza alami krisis makanan teruk

WASHINGTON – Kanak-kanak di Gaza sedang berdepan dengan krisis makanan yang teruk, kata Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Lima pusingan data yang dikumpul antara Disember 2023 dan April 2024 secara konsisten mendapati 9 daripada 10 kanak-kanak di Semenanjung Gaza mengalami kemiskinan makanan yang teruk, bertahan dengan dua atau kurang kumpulan makanan setiap hari,” kata UNICEF dalam satu laporan.

Menurutnya, serangan yang berbulan-bulan lamanya dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan telah memusnahkan sistem makanan dan kesihatan hingga mengakibatkan malapetaka kepada kanak-kanak dan keluarga mereka di Gaza.

“Ini adalah kesan konflik yang mengerikan konflik dan sekatan terhadap keupayaan keluarga untuk memenuhi keperluan makanan kanak-kanak, sekali gus meletakkan mereka berisiko mengalami kekurangan zat yang mengancam nyawa,” tambahnya.

Laporan itu juga mendedahkan kira-kira 181 juta kanak-kanak di seluruh dunia di bawah umur 5 tahun mengalami kekurangan makanan kanak-kanak yang teruk.

“Kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan makanan yang teruk adalah kanak-kanak yang hidup dalam malapetaka. Sekarang ini, itulah realiti bagi berjuta-juta kanak-kanak kecil, dan ini boleh memberi kesan negatif kepada kelangsungan hidup, pertumbuhan dan perkembangan otak mereka yang tidak boleh dipulihkan,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF Catherine. Russell.

Menurut Russell, kanak-kanak yang mengambil hanya dua kumpulan makanan sehari, contohnya nasi dan sedikit susu, sehingga 50% berkemungkinan mengalami kekurangan zat makanan yang teruk.

UNICEF juga menyeru semua kerajaan dan rakan pembangunan dan kemanusiaan untuk bertindak mengutamakan tindakan menamatkan kemiskinan makanan kanak-kanak ini. – Agensi

Scroll to Top