khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Harian Metro malam ini memenangi tiga anugerah bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2023.
Tiga anugerah itu bagi Kategori Penulisan Kolum Terbaik, Kategori Infografik Terbaik dan Kategori Bicarawara Video Terbaik.
Ketua Penyunting Harian Metro, C Ramasamy menerusi kolum bertajuk Janggut dan bahasa kebangsaan, Bahagia Z diragut NCD, S dan hutang RM1.08 trilion muncul tempat pertama bagi Kategori Penulisan Kolum Terbaik.
Beliau membawa pulang RM10,000, trofi dan sijil.
Bagi Kategori Infografik Terbaik, Harian Metro memperoleh tempat kedua dan ketiga.
Tempat kedua dimenangi oleh wartawan, Mohd Syazwan Mohamed Shah Affendi dan pereka grafik, Zul Fadhli Kamarrudin bertajuk Panah Tempur Alam Melayu yang membawa pulang RM3,000 berserta sijil.
Manakala wartawan, Mohd Alhafiz Ithnin @ Abdul Jabar dan pereka grafik, Nor Salim Mohamed Dawam pula memperoleh tempat ketiga membawa pulang RM2,000 beserta sijil menerusi tajuk Uniknya Hutan Malaysia.
Harian Metro juga memperoleh tempat ketiga bagi Kategori Bicarawara Video Terbaik menerusi Azrul Affandi Sobry dan Shahrul Redzuan Zulkifli dengan memperoleh RM2,000 dan sijil menerusi Podcast Apa-Apa Saja: Air Mata Gaza.
Selain tiga anugerah dimenangi Harian Metro, New Straits Times (NST) turut memenangi tempat kedua bagi Kategori Kewartawanan Penyiasatan Terbaik menerusi wartawan Aliza Shah Muhammad Shah dan Iylia Marsya Iskandar.
Kedua-dua wartawan NST itu turut memperoleh tempat kedua bagi Kategori Laporan Berita Terbaik.
NST turut memperoleh tempat pertama bagi Kategori Bicarawara Radio Terbaik menerusi Intan Maizura Ahmad
Kamal dan Elena Simala Koshy manakala Rajan David Christy memperoleh tempat ketiga bagi Kategori Penulisan Kolum Terbaik.
Jurugambar NST, Mohd Aizuddin Akmal Saad pula memperoleh tempat kedua bagi Kategori Esei Foto Terbaik.
Di samping itu, jurugambar Berita Harian, Mohamad Danial Mohamad Saad pula memenangi tempat ketiga menerusi Kategori Kewartawanan Foto Terbaik.
Pemenang hadiah Kajai iaitu Kategori Utama Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2023 dimenangi oleh Vinothaa Selvatoray daripada Malaysiakini menerusi laporannya bertajuk Exposed: Shackles of rampant modern-day slave trading.
Beliau memperoleh hadiah wang kemenangan berjumlah RM30,000, trofi dan sijil.
HKM MPI-Petronas 2023 turut menobatkan Khalidah Adibah Amin sebagai Tokoh Wartawan Negara.
Malam Wartawan Malaysia 2024 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2023 ini dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Hadir sama Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong; Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Mustapa Omar; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Abd Karim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




