hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya terasa maruah diri dipijak-pijak. Walaupun suami beri saya peluang menyuarakan pendapat, tetapi dia sama sekali tidak pernah mendengar atau memahaminya.” Demikian luahan Ayuni, 40-an, (bukan nama sebenar).
Suri rumah itu berada dalam dilema dan tertekan selepas berkongsi hidup bersama lelaki yang mempunyai personaliti atau karakter kecelaruan personaliti narsistik (NPD) sejak 23 tahun lalu.
Dia yang menetap di selatan tanah air mengakui kehidupannya tidak seceria wanita lain, malah sikap suami yang selalu menghakimi dan tidak pernah mengaku salah itu juga membuatkan dirinya kurang keyakinan diri.
Berkongsi kisahnya, Ayuni berkata, sepanjang hidup bersama, dia dan anak mereka tidak pernah diberikan ruang membuat keputusan sendiri sebaliknya perlu mengikut pilihan suami termasuk untuk masa depan anak.
Katanya, suami membuatkan mereka seolah-olah tidak bijak membuat pilihan sendiri dan semua yang diusulkan tidak pernah didengar, malah situasi itu juga bukan dirasai dia dan anak namun seluruh keluarga besar.
“Pada mulanya saya ingatkan sikap suami biasa saja dan tidak akan seteruk ini, tetapi semakin hari sikap menjadi-jadi, malah membuatkan kami anak beranak jemu dan kurang senang. Perbincangan pasti akan menjadi tegang kerana kami perlu mengikut cakap suami saja.
“Kami buat kesalahan kecil saja, tetapi cara suami menghakimi kami seolah-olah kesalahan kami terlalu besar. Saya mengaku kurang pandai memasak tidak seperti suami, tetapi komen dia mengenai masakan saya terlalu teruk hingga buat saya rasa sedih, kecewa dan malu,” katanya.
Ayuni berkata, suami tidak pernah merasakan dirinya salah dan suka merendah-rendahkan dia, malah mengakui lelaki itu seperti tidak suka jika dia dilihat lebih berjaya atau lebih baik.
“Saya pernah menyuarakan hasrat untuk menjual kek, tetapi komen suami mengguris hati dan merendah-rendahkan saya biarpun niat saya hanya mahu membantu dia. Hidup bersama orang seperti ini tiada sokongan moral daripadanya sebaliknya hanya komen yang tidak membina.
“Boleh cakap 80 peratus ciri-ciri NPD ada pada suami dan saya pernah menyuarakan perkara ini supaya kami boleh pergi kaunseling untuk menyelamatkan perkahwinan, namun dia tidak mahu dan menganggap ia tidak perlu dan pasti ia akan berakhir menjadi tegang.
“Mungkin suami malu kerana sebagai lelaki, pasti ada ego, tetapi bagi saya ini adalah masalah keluarga jadi tiada sebab untuk kita malu mendapatkan bantuan,” katanya.
Katanya, sepanjang tempoh perkahwinan dia banyak memendam perasaan dan mengakui pada awal perkahwinan, dia memikirkan anak yang masih kecil.
“Namun, sekarang anak yang bongsu sudah berusia sembilan tahun dan saya juga semakin tawar hati dengan sikap suami yang tiada perubahan.
“Bukan saya tak pernah rasa bahagia cuma memendam perasaan itu lebih banyak dan biarpun suami ada sifat penyayang dan bukan kaki pukul, tetapi emosi kami tidak sihat dengan sikapnya yang menjadi ‘toksik’ dalam rumah, malah anak juga mengaku tidak kisah jika kami berpisah.
“Saya sudah menyuarakan hasrat untuk berpisah, tetapi suami tidak mahu dan minta saya memikirkan anak.
“Dia mengaku masih menyayangi rumah tangga kami dan meminta saya mengingatkannya, tetapi perkara sama tetap berulang,” katanya mengakui sikap suami dengan orang sekeliling juga sama.
Pesakit NPD tak boleh tengok orang lain ‘lebih’
Kecelaruan personaliti narsistik (NPD) dikategorikan sebagai penyakit mental, namun sangat sukar untuk mendiagnosis penyakit berkenaan.
Pakar Psikiatri Jabatan Psikiatri Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Farah Deena Abd Samad berkata, NPD adalah seseorang merasakan dirinya lebih bagus daripada orang lain, mempunyai keperluan tetap untuk dipuja dan dihormati.
Menurutnya, selain itu individu berkenaan juga kurang rasa empati terhadap orang lain dan melihat diri mereka sebagai orang paling penting dan layak mendapat layanan istimewa.
“Mereka juga mengeksploitasi orang lain untuk kepentingan diri sendiri dan sering dengki terhadap orang lain atau merasakan orang lain dengki terhadap dirinya,” katanya.
Bagaimanapun katanya, NPD adalah penyakit mental yang sangat sukar dan mencabar untuk didiagnosis dan pihaknya akan menggunakan manual diagnosis kecelaruan mental (DSM-5) untuk mendiagnosis penyakit berkenaan.
“DSM-5 akan digunakan untuk mendiagnosis penyakit itu menyatakan bahawa ciri berkenaan (merujuk kepada ciri NPD) perlu mengganggu fungsi kehidupan peribadi, kerjaya dan hubungan dengan orang sekitar.
“Ini kerana tidak semua orang mempunyai ciri berkenaan akan mudah untuk didiagnosis sebagai pesakit NPD. Ada ramai antara kita yang mempunyai sebahagian atau kebanyakan ciri seperti itu, tetapi tak semestinya individu itu menghidap NPD. Jadi, kita tidak boleh mudah melabel seseorang itu sebagai NPD,” katanya.
Dr Farah Deena berkata, setakat ini tiada ubat untuk merawat NPD, namun pesakit yang didiagnosis penyakit berkenaan perlu mendapatkan terapi berpanjangan dan konsisten.
“NPD perlu mempunyai kesedaran mengenai personaliti mereka, empati dan motivasi untuk berubah dan ini memerlukan terapi berpanjangan dan konsisten (kerana) tiada ubat yang boleh merawat,” katanya.
Katanya, selain itu individu yang menjalani kehidupan bersama penghidap NPD juga boleh menerima kesan kepada emosi dan mental seperti merasakan diri tidak bagus, kurang keyakinan diri, keliru, kemurungan, trauma, keletihan mental dan fizikal.
“Kesedaran masyarakat mengenai NPD semakin meluas, namun perlu diingatkan supaya mengelakkan daripada melabelkan seseorang itu sebagai penghidap NPD dengan terlalu cepat.
“Apa yang penting, kita sentiasa tahu diri kita bernilai dan jangan pernah mempersoalkan nilai diri kerana pertahanan terbesar terhadap narsistik adalah menyayangi diri sepenuhnya. Dapatkan juga bantuan profesional jika berdepan masalah itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd