am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Pembantu operasi Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Hamzah Ahmad, 60, yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin pada Ahad, disifatkan seorang anak kariah yang baik dan ‘kaki masjid’.
Penduduk Kampung Londang, Masjid Tanah, Ramli Naaman,65, berkata, dia sudah lama mengenali Hamzah iaitu sebelum arwah berkahwin.
Katanya, arwah seorang yang baik dan tidak suka mengambil tahu hal keburukan orang lain, selain kebanyakan waktunya di masjid.
“Arwah tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid ini kecuali jika terlalu uzur atau sakit. Malah, selepas terbabit kemalangan tahun lalu arwah tetap datang ke masjid dan bersolat menggunakan kerusi di bahagian tepi.
“Arwah juga seorang yang cintakan majlis ilmu dan mengikuti pengajian Tarekat Ahmadiah di masjid ini dan juga sehingga di Lubok China,” katanya ditemui di Masjid Al-Ehsan, di sini.
Ramli berkata, pemergian Hamzah amat dirasai khususnya dalam kariah masjid berkenaan.
“Kami memang rapat dan saya satu-satunya orang yang boleh dan kerap mengusap janggutnya selepas solat ketika bergurau dan arwah tidak pernah marah.
“Saya masih ingat selepas solat Asar pada hari kejadian, arwah malah sempat melambai-lambai kepada saya ketika hendak pulang ke rumahnya, namun semua ini takdir dan Allah lebih sayangkannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




