Lelaki maut kereta terbabas, langgar pokok

Lelaki maut kereta terbabas, langgar pokok

am@hmetro.com.my

Melaka: Lelaki maut sejurus kereta Proton Iswara Aeroback dipandunya terbabas merempuh pokok berdekatan sebuah gerai makanan di Jalan Tun Kudu, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Sing Chin Tzuan,41, beralamat di Tiang Dua, dan berkerja sendiri disahkan meninggal d lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa memandu sendirian dari simpang empat Pengkalan Minyak/Tehel menghala ke lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan Bukit Katil.

“Kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran sebuah gerai makanan.

“Pelanggaran menyebabkan mangsa cedera di muka dan kepala serta tersepit di dalam kereta sebelum dikeluarkan oleh pihak bomba.

“Namun, mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kenderaan terbabit akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Farizal Rashid,40, berkata dia berada di dalam rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah gerainya yang terletak bersebelahan.

Katanya, dia bergegas keluar memeriksa dan ternampak kereta Proton Iswara Aeroback terbabas melanggar pokok di sebelah kiri gerainya dan terdapat seorang pemandu tersepit dalam kenderaan yang remuk teruk.

Dakwanya, dia cuba mengajar lelaki itu mengucap kalimah syahadah kerana menyangkakan mangsa seorang Muslim kerana terdapat kalimah Allah di dalam kereta terbabit.

“Keadaan muka dan tubuh mangsa dipenuhi simen dan tersepit di tempat duduk pemandu kereta yang remuk menyebabkan saya tidak pasti identitinya.

“Dalam keadaan cemas itu saya cuba ajar dia mengucap dan meminta dia bertahan menunggu bantuan tiba, namun tiada tindak balas sebelum pasukan bomba tiba dan mengeluarkannya dari kereta yang remuk,” katanya ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Farizal berkata, laluan berkenaan kerap berlaku kemalangan termasuk sebelum ini kereta terbabas merempuh pokok lain di hadapan gerainya dan berharap pihak berkenaan melakukan sesuatu bagi menanganinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top