Masa untuk gilap pemimpin muda, warisi negara

Masa untuk gilap pemimpin muda, warisi negara

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Senario politik semasa yang agak mencabar memerlukan Malaysia mengubah rentak dan ‘mendidik’ golongan muda untuk menjadi pelapis pemimpin yang cemerlang di masa hadapan.

Penganalisis politik daripada Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berpandangan, Malaysia bakal menjadi negara terkebelakang sekiranya tidak memberi peluang kepada pemimpin muda dan berterusan memilih pemimpin veteran, selain mereka tiada kelayakan akademik bagi mewakili suara rakyat dan kerajaan.

“Orang lama (veteran) dia sukar… tidak mahu berubah secara drastik, kalau nak berubah pun secara perlahan. Kalau (pemimpin) orang muda lain sedikit, lebih-lebih lagi dengan pengundi muda, mereka dikatakan berani membuat keputusan ekstrem.

“Jadi, pengundi muda ini lebih senang untuk mereka bersama atau lebih serasi dengan calon atau pemimpin yang lebih muda,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Selain itu, Azmi berkata, sama ada pemimpin muda mahupun veteran, kelayakan akademik akan menjadi kayu pengukur yang amat penting dalam aspek kepimpinan.

“Mereka yang mempunyai kelayakan akademik tinggi telah melalui proses dalam berhujah menggunakan data dan statistik, bukan lagi berhujah secara retorik.

“Kalau digabungkan dengan pemimpin muda yang ada kelayakan akademik walaupun kurang pengalaman politik, mereka boleh menggunakan latar belakang politik itu untuk mencadangkan sesuatu, menggubal dasar, berhujah dan berdebat dengan logik menggunakan data dan statistik,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, parti politik perlu memilih pemimpin yang berdasarkan merit sekiranya mahu bertahan.

Katanya, ini disebabkan pengundi pada masa ini adalah generasi bermaklumat yang berlandas fakta dan pemerhatian, berbanding pada masa dahulu.

Menurutnya, sekiranya parti politik tidak mengikut kepada merit, mereka akan menjadi lemah.

“Patutnya (parti politik) memberi seseorang itu (pemimpin) peluang berdasarkan kepada merit. Malaysia kalau nak maju akan datang, kena berasaskan merit dan sesuai dengan zaman.

“Macam hari ini dunia berdasarkan teknologi maklumat, automatik orang muda cepat belajar. Dia tak macam veteran. Veteran kalau 60 tahun ke atas payah (belajar teknologi maklumat),” katanya.

Mazlan turut mengambil contoh negara maju yang cenderung untuk mengetengahkan golongan muda sebagai pemimpin.

“Sebab pertamanya karakter orang muda ini dia aktif. Tapi orang muda ini bukan orang muda yang sebarangan tetapi berpendidikan tinggi, berkelayakan akademik dan mempunyai pengalaman,” katanya.

Beliau juga percaya generasi pemimpin muda menggarap pengalaman awal menerusi aktif dalam berpersatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“(Berbanding) orang tua ini dia perlahan. Mungkin idea dia tak sejauh hari ini. Macam hari ini (ada) kecerdasan buatan (AI), bukan mudah orang itu nak belajar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top