am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Kebanyakan pengundi mengambil peluang mengadu pelbagai masalah dan meluahkan keluh kesah mereka kepada calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap tanpa mengira parti diwakili.
Tinjauan kempen calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail di Pekan Sungai Bakap hari ini mendapati rata-rata peniaga mengadu masalah kesesakan trafik, jalan sempit dan banjir yang membelenggu mereka sejak sekian lama.
Seorang pengundi, M Janagi, 56, berkata, dia yang mengusahakan perniagaan pakaian, aksesori dan bunga kerap menyaksikan kemalangan kecil dan ambulans terperangkap dalam kesesakan memandangkan kedai yang disewanya betul-betul terletak di tepi jalan.
“Lori besar dan panjang juga masuk guna jalan ini. Bila lori berhenti turunkan barang, terus sesak. Ambulans, bas pun sangkut. Selalu juga berlaku kemalangan, motosikal, kereta pun ada. Memang kecil sahaja tapi tidak bolehlah biar begitu.
“Tempat parkir juga kurang dan ini sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan kami yang sudah agak perlahan dua tiga tahun kebelakangan ini,” katanya.
Seorang peniaga perkakasan rumah yang ingin dikenali sebagai Tan, 50, berkata, kedainya yang berada di kawasan lebih rendah kerap dilanda banjir kilat ketika hujan lebat menyebabkan barang jualan seperti gulungan tikar getah rosak terendam air.
“Banjir itu tiba-tiba berlaku dan cepat sangat. Kedai pun tidak luas, jadi barang-barang banyak letak atas lantai tak sempat alih,” katanya yang juga berniaga durian dan manggis di hadapan kedainya pada musim buah-buahan.
Dalam pada itu, Syafiq Yusni, 29, berkata sebagai pengundi atas pagar dia hanya mahu wakil rakyat bertanggungjawab dan terus turun padang mendengar aduan rakyat biarpun selepas PRK Sungai Bakap berakhir.
“Semasa pilihan raya baru calon tidak kiralah parti mana, kelam kabut mai (datang). Bila jadi Yang Berhormat (YB) pegang janji patut jadi berguna bila orang cakap, mengadu, dengarlah.
“Macam ada seorang YB di Melaka bila mengadu sampai, walaupun dia tak boleh buat, dia usaha, walau bukan bidang kuasanya tapi tetap dia tolong, Wakil rakyat begitu kita mahu,” katanya.
Sementara itu Abidin yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal berkata pihaknya boleh membantu menjadi pemudah cara kepada rakyat dengan segala aduan akan disalurkan kepada agensi berkaitan untuk diambil tindakan.
“Banyak isu yang mereka bangkit pertamanya, kerap berlaku banjir kedua tentang surcaj air maksud ada yang dulu bil RM100 sekarang RM250. Selain itu masalah kenaikan harga barang.
“Macam melihat kepada masalah banjir kita akan maklum agensi berkaitan bukan kita buat, tetapi salurkan kepada agensi, ” katanya.
Menurut Abidin, kempennya awal pagi ini memberi tumpuan kepada segmen pengundi bukan Melayu dengan turut dibantu daripada parti komponen GERAKAN yang membantu kempennya mendekati pengundi Cina dan India.
“GERAKAN banyak bantu dekati bukan pengundi bukan Melayu merentasi pengundi amat positif (kita dapat tengok) isyarat bukan Melayu suka pada Perikatan Nasional (PN).
“Mereka nak wakil rakyat yang ‘low profile’ (merendah diri) dan membantu rakyat suka buat kerja, kuat bekerja bila mereka mengadu dapat maklum balas daripada wakil rakyat,” katanya.
Atas kertas undi, Abidin, 56, mahu dirinya dikenali sebagai Abang Abidin manakala lawannya, dari Pakatan Harapan (PKR), Dr Joohari Ariffin menamakan diri sebagai Cikgu Joohari.
© New Straits Times Press (M) Bhd