Bellingham dan Kane, selamatkan maruah England

Bellingham dan Kane, selamatkan maruah England

Gelsenkirchen, Jerman: England hampir tersungkur sebelum bangkit membenam Slovakia dengan 2-1 pada aksi 16 terbaik Euro 2024 untuk menempah tiket ke suku akhir.

Dua gol masing-masing menerusi Jude Bellingham dan ketua pasukan Harry Kane menyelamatkan kempen skuad bimbingan Gareth Southgate yang pada awalnya ketinggalan sepanjang aksi.

Mujur jaringan cantik Bellingham yang melakukan sepakan gunting dalam masa kecederaan babak kedua membangkit semangat pemain England.

Begitupun, Ivan Schranz mendiamkan penyokong England apabila dia memanfaatkan peluang terbuka pada minit 25 dengan menolak mudah ke gawang England untuk mendahului 1-0.

Anak buah Southgate cuba bangkit namun ketumpulan jentera hadapan sedikit mengecewakan, ditambah corak bertahan dipamerkan Slovakia menyukarkan lagi pergerakan pemain England.

Bersambung babak kedua, naib juara edisi lalu itu meningkatkan tempo permainan untuk memburu gol penyamaan.

Peluang terbaik skuad The Three Lions hadir pada minit 76 menerusi sepakan percuma Phil Foden namun tandukan Kane sedikit tersasar.

Empat minit kemudian, tiang menjadi penghalang selepas Declan Rice melepaskan rembatan sebelum tindakan susulan Kane melambung tinggi.

Bellingham muncul tepat pada masanya apabila sepakan guntingnya pada masa kecederaan membolehkan England mengikat kedudukan 1-1 sekali gus mengheret aksi ke masa tambahan.

Slot suku akhir nyata milik England apabila Kane tidak mensia-siakan peluang dengan menanduk masuk selepas seminit dilanjutkan ke masa tambahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top