Hamburg: Perancis menewaskan Portugal 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan pada aksi suku akhir Euro 2024, awal pagi tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Perancis akan bertemu Sepanyol pada aksi separuh akhir, awal pagi Rabu ini.
Tempoh 120 minit permainan menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut untuk mencipta jaringan di Hamburg dengan Joao Felix menjadi satu-satunya pemain yang gagal menyempurnakan sepakan manakala Theo Hernandez meledak penalti kemenangan Perancis.
Pengurus Perancis Didier Deschamps berkata: “Ia adalah perlawanan yang sangat tegang dan sengit. Apa saja boleh berlaku terutama dalam masa tambahan.
“Namun saya sangat gembira untuk skuad, yang bermain mengikut apa yang dirancang. Kami gembira berada dalam kelompok empat terakhir,” katanya.
Cristinao Ronaldo berjaya menyudahkan sepakan penaltinya tetapi ini adalah kali pertama pemain berusia 39 tahun itu gagal menjaringkan gol dalam kejohanan utama.
Selepas separuh masa pertama yang hambar, penjaga gol Perancis, Mike Maignan dipaksa bekerja keras apabila menafikan percubaan Bruno Fernandes dan Vitinha.
Eduardo Camavinga melepaskan peluang terbaik Perancis apabila menyaksikan percubaannya tersasar.
Kylian Mbappe dikeluarkan pada separuh masa tambahan dengan dia dilihat masih bergelut dengan topeng muka yang dipakainya sejak mengalami patah hidung ketika perlawanan pembukaan Perancis menentang Austria.
Sementara Sepanyol menewaskan Jerman dalam satu lagi aksi suku akhir apabila tandukan Mikel Merino pada minit ke-119 memberikan kemenangan dramatik 2-1.
© New Straits Times Press (M) Bhd