Las Vegas: Bintang remaja yang semakin meningkat, Endrick akan membuat penampilan pertamanya untuk Brazil dalam pertembungan suku akhir Copa America menentang Uruguay, kata jurulatih Brazil Dorival Jr.
Endrick, 17, akan dimasukkan ke dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Vinicius Jr yang digantung selepas mengutip kad kuning kedua di kejohanan itu ketika mereka melakar keputusan seri dengan Colombia Rabu lalu.
Endrick yang akan menyertai Real Madrid selepas Euro akan bersama-sama di barisan hadapan bersama Raphinha dan Rodrygo pada perlawanan esok di Stadium Allegiant di Las Vegas.
Ia akan menjadi ujian terbesar dalam karier antarabangsa Endrick yang masih muda selepas hanya turun sembilan perlawanan sebagai pemain gantian.
Dorival berkata, walaupun Brazil pada mulanya merancang untuk mendedahkan Endrick secara berperingkat, dia yakin pemain itu sudah bersedia memulakan perlawanan menentang Uruguay.
“Kami kehilangan pemain yang sangat penting (Vinicius), tetapi kami memiliki pemain yang sedang meningkat, mencari peluang. Mungkin ini masa terbaik buat Endrick.
“Kami sentiasa berkata bahawa kami tidak mahu tergesa-gesa untuk menurunkan Endrick dan dia akan diberi peluang pada masa yang sesuai,” kata Dorival.
Pada usia 17 tahun 11 bulan, Endrick adalah pemain kedua termuda di Copa America selepas Kendry Paez dari Ecuador yang berusia 17 tahun sebulan.
Endrick yang menandatangani kontrak dengan Real Madrid dari kelab Brazil, Palmeiras pada harga AS$64 juta (RM301 juta), memulakan karier antarabangsa yang mengagumkan.
Dia menjaringkan gol sulung peringkat antarabangsa ketika menewaskan England 1-0 di Wembley pada Mac dan kemudian meledak dua jaringan lagi dalam aksi persahabatan menentang Sepanyol dan Mexico.
© New Straits Times Press (M) Bhd




