Moscow: Atlet gusti Rusia yang diberi kebenaran untuk menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 menolak jemputan berkenaan, jelas Persatuan Gusti Rusia hari ini.
Selepas pada mulanya dihalang daripada menyertai temasya itu berikutan serangan ketenteraan Moscow ke atas Ukraine, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bersetuju untuk membenarkan beberapa atlet Rusia bersaing di bawah bendera neutral, dengan syarat mereka memenuhi kriteria yang ketat.
Bagaimanapun, badan induk kebangsaan itu mengumumkan bahawa 10 atlet gusti yang lulus pemeriksaan kelayakan akan memboikot temasya itu sebagai protes terhadap IOC.
“Kami tidak menerima prinsip pemilihan tidak ada semangat kesukanan IOC dalam menyusun senarai atlet yang layak, bertujuan untuk menggugat prinsip kesatuan pasukan kami,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.
Jawatankuasa eksekutif, jurulatih, dan atlet membuat keputusan sepenuhnya untuk menolak menyertai Sukan Olimpik.
Atlet Rusia yang berharap untuk bertanding di Paris harus menunjukkan bahawa mereka tidak menyokong serangan ketenteraan Rusia ke atas Ukraine dan tidak mempunyai hubungan dengan angkatan bersenjata negara itu
Mereka yang dibenarkan akan bertanding di bawah bendera neutral dan akan dikecualikan daripada sebarang acara berkumpulan serta upacara pembukaan.
Pegawai Rusia berkali-kali mengkritik dasar IOC.
© New Straits Times Press (M) Bhd




