KUALA LUMPUR – Penghantar makanan antara dua suspek berjaya ditahan polis selepas disyaki terliat dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah Sepang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kedua-dua suspek itu diberkas menerusi satu serbuan yang dilakukan polis di dua buah rumah di Sepang pada Jumaat lalu.
Katanya, hasil risikan dan maklumat dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang telah menahan kedua-dua suspek dalam sebuah kereta.
“Siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek merupakan lelaki warga tempatan berumur 23 dan 29 tahun.
“Siasatan lanjut polis juga mendedahkan bahawa, kedua-dua suspek ini secara aktif terlibat dalam aktiviti pengedaran ganja sekitar daerah Sepang,” katanya awal pagi tadi.

Tambah beliau, susulan soal siasat daripada kedua-dua suspek, polis telah membuat serbuan di sebuah rumah yang terletak di kawasan Cyberjaya, Sepang.
Ujarnya, pemeriksaan di dalam rumah yang disyaki disewa suspek berjaya membawa polis kepada penemuan lapan bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun kering disyaki ganja seberat lebih lapan kilogram dianggarkan bernilai RM24,979.80.
“Polis kemudian membuat serbuan di satu lagi rumah yang terletak di kawasan Dengkil sebelum menemui satu balang mengandungi ketulan mampat daun kering juga disyaki jenis ganja seberat 64 gram dianggarkan bernilai RM1,920,” katanya.
Ujar Wan Kamarul Azran lagi, ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek disahkan positif dadah jenis THC.
“Semakan lanjut juga mendapati kedua-dua suspek yang masing-masing bekerja sebagai penghantar makanan dan peniaga tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
“Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk disiasat di bawah Seksyen 39B/39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.-MalaysiaGazette




