'Isu Top Glove jejas imej negara'

'Isu Top Glove jejas imej negara'

bhnews@bh.com.my

KUALA LANGAT: Kerajaan mengakui imej negara terjejas susulan isu syarikat pengeluar sarung tangan terkemuka, Top Glove, yang berdepan sekatan perdagangan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, bagaimanapun berkata, masih ada ruang untuk syarikat itu membuat rayuan kepada pihak US CBP.

“Masih ada ruang untuk Top Glove merayu dan kita kena buat rayuan. Jika tidak bersalah, mereka tidak patut dihukum.

“Pada masa sama, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sesiapa pun dalam isu membabitkan penderaan ke atas pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perjumpaan Bersama Pekerja Ladang Sime Darby Plantation Berhad anjuran Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Banting di sini, hari ini.

Saravanan berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan US CBP merampas sarung tangan pakai buang keluaran Top Glove kerana syarikat itu dipercayai menggunakan buruh paksa.

Mengikut laporan, peguam Top Glove Corp Bhd di Amerika Syarikat (AS) kini dalam proses perbincangan dengan wakil US CBP untuk mendapatkan penjelasan mengenai larangan import terkini yang dikeluarkan terhadap sarung tangan pakai buang keluaran syarikat itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top