'Saya masih lagi tunang orang' – Iqbal Mazlan

'Saya masih lagi tunang orang' – Iqbal Mazlan

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon juga bekas juara program Pilih Kasih yang kini hilang penglihatan, Iqbal Mazlan, 35, mengakui dia masih lagi bergelar ‘tunang orang’ kepada wanita pilihannya yang dirahsiakan nama dan pekerjaannya.

Iqbal atau nama sebenarnya Muhammad Iqbal Mazlan berkata, dia bersyukur tunangnnya itu masih lagi setia bersama dengannya dan sedikit-sebanyak membantu juga dari segi masalah kewangan dihadapi.

“Alhamdulillah, saya masih lagi tunang orang. Hubungan kami baik-baik saja sampai sekarang dan dia (tunang) juga adalah individu yang banyak memberi sokongan kepada saya agar kuat dan tidak mudah rasa putus asa.

“Tunang pun ada juga membantu saya dari segi kewangan, tapi tidak banyaklah kerana dia juga mempunyai komitmen bulanan sendiri yang perlu diuruskan. Bagaimanapun, saya amat berterima kasih kepadanya.

“Cuma, walaupun saya dah tak dapat lihat lagi tapi keinginan nak kerja dan berdikari tetap ada. Saya pun tidak mahu asyik meminta-minta bantuan (kewangan) daripada orang saja,” katanya kepada Harian Metro.

Difahamkan Iqbal sudah bertunang sejak beberapa tahun lalu, namun hubungan itu menjadi ‘tanda-tanya’ apabila ada segentir netizen bertanya di mana kelibat tunangnya di waktu kesusahan ketika ini.

“Saya tidak berkongsi secara terbuka mengenai peribadi. Apa yang tunang dah bantu saya. Dia tidak tinggalkan saya pun.Tapi, cukuplah saya mengakui ikatan pertunangan kami masih bertahan lagi,” katanya.

Baru-baru ini, Iqbal yang menerima kunjungan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di kediaman keluarganya di Kapar, Klang meluahkan dia memerlukan bantuan kewangan kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 memulakan kehidupan.

Katanya, kalau ada sesiapa yang dapat bantu hulurkan sejumlah sumbangan diperlukan itu dia tidak akan meminta-minta bantuan lagi kerana yakin sudah mampu bangkit mencari sumber pendapatan sendiri semula.

Iqbal pernah dimasukkan ke Hospital Shah Alam sebelum ini selepas berdepan dengan masalah penglihatan secara mengejut akibat jangkitan kuman dalam mata pada 5 Mac tahun lalu.

Iqbal juga berkata, buat masa ini tahap penglihatannya hanya mampu melihat biasan cahaya pada mata saja dan kalau berjalan memang perlu menggunakan bantuan tongkat.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top