sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) memaklumkan pelumba berbasikal lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan serius.
Pemangku Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, kejadiaan kemalangan ringan berlaku kepadanya pada bulan lalu ketika sesi latihan di Belgium, malah Nur Aisyah sendiri sudah pulih dan menyertai beberapa pelumbaan selepas itu.
Perkembangan itu memberi mesej positif buat atlet berusia 27 tahun itu sekali gus peluang begitu cerah bagi melakukan penampilan di pentas Olimpik Paris yang akan bermula hujung bulan ini.
“Dia (Nur Aisyah) kemalangan ringan pada 12 Jun lalu. Aisyah berada dalam keadaan ok. Dia pun sudah menyertai lima pelumbaan selepas itu (kejadian itu),” katanya kepada Arena Metro.
Sebelum ini dikhabarkan pelumba kelahiran Terengganu itu mengalami kemalangan jalan raya di Belgium dan hampir meranapkan impiannya ke pentas Olimpik Paris.
Terdahulu Arena Metro melaporkan Nur Aisyah berkampung di Belgium sebagai persiapan ke temasya empat tahun sekali itu dan dirinya tidak mahu melepaskan peluang untuk menimba pengalaman daripada pelumba hebat negara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




