mohamadridzuan@hmetro.com.my
“JANGAN ikut sesiapa”.
Ini nasihat maestro muzik tersohor India, AR Rahman, 57, kepada komposer muda dan berbakat yang menyumbang sesuatu dalam industri muzik.
Rahman yang pernah memenangi trofi di Academy Awards berkata, mereka juga perlu kekal dengan identiti tersendiri dan memanfaatkan keunikan yang dimiliki.
“Anda boleh belajar, melihat dan mengamati semua orang, tetapi anda memiliki sesuatu yang sangat unik dalam diri anda kerana anda dibesarkan dengan cara yang sangat berbeza,” katanya.
Rahman berkata demikian dalam sesi pertemuan eksklusif bersama peminat yang diadakan di Pusat Konvensyen Star, Menara PGRM, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menerusi program dihadiri lebih 1,000 peminat itu, mereka diberikan peluang bertanyakan soalan yang dijawab oleh komposer terbabit.
Acara bertemu peminat itu juga sempena penganjuran Konsert AR Rahman Live in Kuala Lumpur 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 27 Julai ini.
Untuk konsert itu, Rahman menjanjikan sesuatu yang luar biasa buat penonton dalam persembahannya nanti.
“Setiap destinasi yang dituju, saya sajikan persembahan berbeza buat peminat. Media sosial adalah jaringan komunikasi terbaik untuk saya dapatkan maklum balas peminat.
“Untuk peminat di Malaysia, saya hadiahkan persembahan menggunakan teknik kesan khas terkini,” katanya yang turut seronok berada di Malaysia apabila melihat rakyat berbilang kaum hidup dalam suasana harmoni.
Sebelum itu, Rahman mendedahkan dia hampir mengadakan kerjasama dengan bintang pop legenda, Michael Jackson pada 2009, tetapi ia tidak menjadi kenyataan apabila Michael meninggal dunia dua bulan selepas mengadakan pertemuan dengan Rahman.
“Dalam pertemuan di Los Angeles itu, Jackson menunjukkan minat bekerjasama dengan saya. Beliau suka dengan hasil kerja saya, manakala saya pula mengagumi apa yang dilakukan. Beliau mahu saya menghasilkan satu lagu berkaitan dengan perpaduan seperti lagu We Are The World.
“Namun, impian ini tidak kesampaian kerana beliau meninggal dunia selepas dua bulan kami bertemu,” katanya.
Rahman berkata, sebelum itu, dia meminta ejen di Hollywood yang baru dilantik untuk menguruskan pertemuannya dengan Michael.
“Dia berjanji akan menguruskannya. Bagaimanapun, tiada sebarang maklum balas diterima selepas beberapa minggu.
“Bagaimanapun, selepas dua lagu saya tercalon di Academy Awards, barulah saya terima mesej mengatakan Michael ingin berjumpa,” katanya.
Bagaimanapun, dia menolak permintaan itu kerana sibuk dengan persiapan untuk mengadakan persembahan Academy Awards.
“Saya hanya akan berjumpa dengan Michael jika menang trofi di situ dan sehari selepas menang, saya tunaikan janji bertemu dengannya.
“Beliau menyambut kedatangan saya dengan memakai gaya ikonik iaitu memakai sarung tangan dan bercermin mata. Beliau melayan saya dengan baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




