Sejak 1930-an di Timur Tengah sudah ada pihak yang menyarankan supaya masyarakat Islam sebaiknya menggunakan hadis sahih sahaja dan meninggalkan beramal dengan hadis daif.
Mereka mengandaikan dengan cara ini sahaja umat Islam dapat kembali bersatu di atas petunjuk al-Quran dan sunnah, mampu menghapuskan masalah perselisihan pendapat serta bidaah taksub mazhab di kalangan umat. Idea pemikiran ini muncul dengan anjakan yang agak kuat ke tengah-tengah umat Islam sehingga bahangnya pada masa itu turut sampai ke Nusantara.
Apatah lagi ia turut mendapat tatangan dan dokongan sebahagian pemikir Islam waktu itu yang melihat betapa idealistiknya idea berkenaan dan dianggap sebagai suatu usaha tajdid.
Namun, kini setelah berdekad lamanya, adakah seruan mereka dapat menyelesaikan masalah umat Islam? Adakah ia mampu menghapuskan perselisihan pendapat atau ia sendiri merupakan satu mazhab baru yang menambah perselisihan?
Hakikatnya, dari segi praktik sejak pemikiran tersebut muncul ia terpaksa berbentur dengan amalan warisan majoriti umat Islam. Realitinya, ia hanya menambah masalah perselisihan pendapat, bahkan perpecahan umat dan bukan menyelesaikannya.
Di Tanah Melayu misalnya, pernah muncul perselisihan sengit di antara ‘Kaum Tua’ dan ‘Kaum Muda’ sekitar 1950-an yang sebelumnya situasi perbahasan agama dalam keadaan harmoni dan baik sahaja. Ia melahirkan masalah taksub yang kemungkinan lebih parah lagi daripada sebelumnya, terutama tatkala munculnya ekstremisme agama yang gemar membidaah dan menyesatkan pihak lawan.
Saranan agar membuang hadis daif dan mengguna pakai hadis sahih sahaja, meskipun sedap disebut dan seronok didengar namun secara praktik ia bukan semudah itu. Idea pemikiran baru ini terpaksa berhadapan dengan usul dan kaedah setiap mazhab fiqah yang sudah menjalani eksperimen berkurun lamanya. al-Hafiz Ibnu Hajar misalnya, tetap memasukkan hadis daif di dalam kitabnya Bulugh al-Maram, meskipun secara teorinya hadis daif tidak boleh digunakan dalam bab hukum hakam.
Ini disebabkan praktik mazhab fiqah, terutama Hanafi, Maliki dan Syafii sudah wujud dahulu dan diwarisi sebelum kemunculan kitab-kitab hadis yang muktamad di kemudian hari.
Setelah pembukuan kitab-kitab hadis tersebut seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud, Sunan at-Tirmizi dan lain-lainnya, baru didapati ada pendapat mazhab yang tidak berasaskan hadis sahih yang dibukukan. Sedangkan, praktik tersebut kemungkinan mempunyai sandaran atau sokongan lain selain daripadanya.
Penolakan terhadap hadis daif yang bersendirian sebagai sandaran hukum syarak, sebenarnya tidak menafikan kalau ia boleh diterima dan diguna pakai jika disokong oleh sokongan lain, melalui mutaba’at (riwayat sokongan) dan syawahid (hadis sokongan) atau qara’in (bukti sokongan) seperti ayat al-Quran, ijmak, qiyas, ‘amal mutawarath (amalan yang diwarisi daripada Salaf), amalan ahli Madinah, qaul as-sahabi (kata-kata sahabat RA), ma talaqqathu al-ummah bil-qabul (perkara yang sudah diterima umat Islam tanpa bantahan) dan lain-lain.
Jelasnya, hadis daif turut digunakan ulama dalam bab hukum hakam berdasarkan majmuk dalil atau sokongan yang disebutkan itu. Amat sedikit sekali terdapat hadis daif yang digunakan dalam bab hukum secara bersendirian oleh fuqaha’ empat mazhab tanpa berdasarkan sebarang majmuk dalil atau sokongan melainkan dalam bab fadha’il amal dan seumpamanya. Atau ianya diguna pakai kerana memang tiada hadis sahih dalam sesuatu topik tersebut dan yang paling kuat pun hanya hadis daif.
Ringkasnya, perselisihan pendapat dalam isu-isu khilafiyyah memang tidak dapat dielakkan kerana kepelbagaian sisi pandang yang berbeza, termasuk perselisihan mengenai status sesuatu hadis sama ada ia daif atau tidak, dan istinbat daripadanya.
Ini berlaku dalam berbagai isu seperti tawassul, talqin mayat, syarat 40 makmum bagi solat Jumaat, bacaan basmalah dengan kuat dalam al-Fatihah, lafaz: Usolli, sebutan: Sayyidina, qunut Subuh, batal wuduk lelaki bersentuh dengan perempuan bukan mahram, kenajisan jilatan anjing dan sebagainya.
Justeru, apakah sekadar sanggahan terhadap pihak yang menerima perkara furuk seperti ini layak dinamakan sebagai tajdid dalam erti kata yang sebenar?
Paling tidak, ia cuma sekadar satu percambahan pemikiran dalam perbahasan ilmiah yang lebih memerlukan kepada penjagaan adab sewaktu berselisihan pandangan. Ini kerana jika seseorang ilmuwan biadap, bagaimana mahu diharapkan masyarakat awam yang mengikutinya untuk beradab.
Amat mendukcitakan kini kita dapati segelintir masyarakat awam yang tidak mengerti perbahasan seni fiqah ulama silam ini malahan bukan bidang pengkhususan mereka turut ikut campur tangan mempertikaikan para ulama. Tentunya ini merupakan satu fenomena yang kurang sihat dan penyakit moral yang wajar ditangani segera.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (INHAD), Universiti Islam Selangor (UIS)
© New Straits Times Press (M) Bhd




