Tegur tayar kereta pancit sebelum cuba samun

Tegur tayar kereta pancit sebelum cuba samun

am@hmetro.com.my

Tawau: Seorang lelaki bertindak menegur mangsa dan beritahu tayar keretanya pancit sebelum cuba menyamun di kawasan tempat letak kenderaan di Jalan Pelabuhan Tawau, di sini, hari ini.

Kejadian tular itu bagaimanapun disedari orang awam yang kemudian tampil membantu mangsa wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan laporan dibuat mangsa berumur 32 tahun itu, pihaknya kini giat mengesan suspek.

Katanya, dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa didatangi lelaki tidak dikenali ketika mahu masuk ke dalam kereta.

“Suspek menegur mangsa dan mengatakan tayar kereta mangsa pancit sebelum tiba-tiba mencekik leher dan cuba untuk mengambil barangan berharga milik mangsa tetapi gagal.

“Kejadian itu disedari orang awam dan ada antara mereka merakam video menggunakan telefon bimbit, menyebabkan suspek bertindak melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jasmin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Izzul Adha Mohd Razali di talian 019-7705577 atau hadir di mana-mana balai polis berdekatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top